'Beri kepercayaan SPRM lakukan siasatan'

Ahmad Faizal
Ahmad Faizal
A
A
A

IPOH - Semua pihak tidak seharusnya membuat sebarang konklusi terhadap tindakan yang akan diambil berhubung siasatan penjualan tanah tapak cadangan lapangan terbang di Seri Iskandar ketika ini.

Sebaliknya, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kepercayaan perlu diletakkan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Menurutnya, gambaran seolah-olah tidak akan ada tindakan diambil terhadap hasil siasatan kes tersebut sesuatu yang tidak adil kepada pihak SPRM.

"SPRM sedang bertindak dengan baik, sedang menjalankan siasatan. Berilah mereka peluang untuk menjalankan siasatan sedalam-dalamnya, secara terperinci sebelum mengambil tindakan seterusnya.

"Tak perlulah sampai tahap kita nak merendahkan satu agensi kerajaan seperti SPRM yang sepatutnya perlu diletakkan di kedudukan tinggi supaya dihormati oleh rakyat," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) di Masjid Abu Bakar As-Siddiq di Pusat Latihan PGA, Ulu Kinta, di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Perak, Dr Abdul Aziz Bari yang mendakwa SPRM sendiri mempunyai beberapa kekangan, termasuk tidak mempunyai kuasa pemutus dalam pendakwaan yang berada di tangan Peguam Negara.

Sementara itu, beliau berkata, apabila siasatan dijalankan semua pihak perlu memberikan kerjasama sepenuhnya.

Mengenai gesaan Abdul Aziz agar Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri Perak (PAC) turut menjalankan siasatan terhadap isu tanah lapangan terbang tersebut, Ahmad Faizal berkata, jawatankuasa tersebut juga boleh mengambil tindakan sendiri.

Katanya, masing-masing mempunyai bidang kuasa tersendiri dan kerjasama perlu diberikan jika dipanggil untuk memberikan keterangan.

Pada 23 April lalu, Ahmad Faizal menyatakan kesediaan memberi kerjasama kepada SPRM berhubung penjualan tanah cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan itu berkata, SPRM diminta menyiasat dengan lebih terperinci bagi mengetahui kebenaran penjualan tanah berkeluasan ribuan ekar itu kepada sebuah syarikat swasta.

Pada 18 April lalu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad menjelaskan, seramai 10 lagi individu termasuk bekas Exco kerajaan negeri dipanggil bagi membantu siasatan SPRM berhubung isu terbabit.

Selain bekas Exco kerajaan negeri, turut akan dipanggil ialah pegawai PKNP, pegawai kerajaan negeri dan pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Sebelum ini media melaporkan kenyataan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi bahawa, penjualan tanah kepada syarikat swasta adalah di luar pengetahuan Exco kerajaan negeri ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Asmuni yang juga seorang daripada Exco kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Ahmad Faizal ketika pentadbiran negeri diterajui PH, mendakwa sepanjang menyandang jawatan itu, penjualan terbabit tidak pernah dibangkit dan dibincangkan dalam mesyuarat Exco untuk diluluskan.

Isu penjualan tanah lapangan terbang berkenaan timbul selepas ADUN Aulong, Nga Kor Ming pada Persidangan Dewan Negeri Perak mendakwa tanah itu sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kemudiannya memaklumkan penjualan tanah itu dilakukan ketika di bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta untuk pembangunan bercampur di kawasan berkenaan.