Status amaran Anak Krakatau dinaikkan ke tahap kedua tertinggi

Anak Krakatau memuntahkan debu tebal setinggi 3,000 meter ke permukaan udara pada Ahad. - Foto: AFP
Anak Krakatau memuntahkan debu tebal setinggi 3,000 meter ke permukaan udara pada Ahad. - Foto: AFP
A
A
A

JAKARTA - Indonesia pada Isnin menaikkan status amaran gunung berapi Anak Krakatau kepada tahap kedua tertinggi, sehari selepas ia meletus dan memuntahkan debu tebal setinggi 3,000 meter ke permukaan udara.

Tahap ancaman Anak Krakatau yang itu dinaikkan kepada tahap tiga di bawah sistem amaran gunung berapi selepas menyaksikan peningkatan mendadak aktiviti vulkanik pada bulan lalu yang disusuli dengan letusan paling kuat pada Ahad.

"Kami juga menyarankan orang ramai supaya tidak menghampiri kawasan itu dalam lingkungan lima kilometer dari kawah aktif gunung berapi berkenaan," kata Ketua Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi, Hendra Gunawan sambil menambah pelepasan ketara karbon dioksida turut dilaporkan.

Pada Sabtu lalu, ia membebaskan lebih 9,000 tan gas berbahaya tersebut berbanding 68 tan pada 15 April lalu.

Ia turut memperluaskan zon pengecualian di sekitar kawah, sehari selepas mengeluarkan amaran kepada penduduk berhampiran supaya memakai pelitup muka berikutan kepulan asap tebal kini merebak di selat yang memisahkan Pulau Jawa dan Sumatera.

Sehingga kini, tiada arahan berpindah dikeluarkan di pulau berhampiran selain laluan maritim yang sibuk dari pelabuhan Merak ke pelabuhan Bakauheni didakwa tidak terjejas.

Pada 2018, letusan terakhir Anak Krakatau telah mencetuskan gelombang tsunami dan meragut sekurang-kurangnya 429 nyawa manakala ribuan lagi hilang tempat tinggal. - AFP