17,000 tan sisa makanan terbuang setiap hari

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA- Sebanyak 17,000 tan sisa makanan dihasilkan rakyat Malaysia setiap hari.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, Malaysia merekodkan 38,000 sisa pepejal setiap hari.

"Daripada jumlah itu, 40 peratus adalah sisa basah yang merangkumi keseluruhan adalah makanan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan kempen #Jomtapau di kementeriannya dekat sini pada Isnin.

Menurutnya, jumlah tersebut jika tidak dicegah akan menyebabkan kesan jangka panjang kepada pengurusan sisa dan kelestarian alam.

"Kalau ada keperluan kita bungkus makanan supaya tidak terbuang," katanya.

Beliau berkata, #Jomtapau yang merupakan inisiatif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWcorp) akan melebarkan penyertaan dengan lebih luas terutamanya golongan muda.

"Ini merupakan inisiatif baik yang harus dilakukan secara berterusan bagi memberi kesedaran mendalam," katanya.

Berdasarkan kajian, secara purata kos pembuangan sisa makanan setiap rumah adalah RM210 setiap bulan dan RM2,600 setahun.

Manakala kos merawat sisa makanan pula, isi rumah di Malaysia membelanjakan RM60 hingga RM150.

Kos tersebut dijangka meningkat menjelang 2025 kepada RM160 hingga RM400.

Daripada jumlah sisa makanan yang boleh dielakkan (4,046 tan), jumlah ini dapat memberi makan kepada tiga juta orang sehari untuk tiga kali makan

Jika setiap individu berjaya elakkan satu kg sisa makanan, sebanyak 2.5kg pembebasan gas karbon dioksida (CO²) kurang dibebaskan.