Warga emas antara 33 ditahan terlibat judi lumba kuda

Sebanyak 33 individu termasuk seorang wanita ditahan kerana terlibat dalam kegiatan judi lumba kuda di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai pada Ahad.
Sebanyak 33 individu termasuk seorang wanita ditahan kerana terlibat dalam kegiatan judi lumba kuda di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan 33 individu termasuk seorang wanita kerana terlibat dalam kegiatan judi lumba kuda dalam serbuan di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini pada Ahad.

Serbuan itu dilakukan sepasukan polis dari bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menerusi Op Dadu pada jam 3.15 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, suspek yang ditahan terdiri daripada 32 lelaki dan seorang wanita tempatan berusia antara 36 hingga 76 tahun.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 37 buah telefon bimbit, enam kertas catit taruh, 19 keping surat khabar bertulisan Cina mengandungi jadual perlumbaan kuda dan wang tunai sebanyak RM29,981," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Shahurinain berkata, kesemua yang ditangkap disiasat di bawah Seksyen 6(1) dan 6(3) Akta Pertaruhan 1953.

Katanya, sabit kesalahan di bawah Seksyen 6(1) boleh didenda tidak kurang RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

"Sementara Seksyen 6(3) boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM200,000 dan juga akan dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun jika disabitkan kesalahan, katanya.

Menurutnya, polis Johor akan sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis-premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian bagi mengekang dan membanteras kegiatan itu daripada berleluasa.

Tambahnya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan perjudian boleh menghubungi bilik gerakan Kontinjen Johor di talian 07-2254074.