Wanita bersama 18,000 batang rokok seludup ditahan

Azhari (kiri) bersama Mannadzar (kanan) semasa majlis serah terima tugas Op Wawasan Kelantan antara Batalion 7 PGA Kuantan dengan Batalion 9 PGA Kuala Terengganu pada Isnin.
Azhari (kiri) bersama Mannadzar (kanan) semasa majlis serah terima tugas Op Wawasan Kelantan antara Batalion 7 PGA Kuantan dengan Batalion 9 PGA Kuala Terengganu pada Isnin.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan menahan seorang wanita dan merampas 18,000 batang rokok seludup dalam serbuan di Kampung Air Resom, Tanah Merah pada Ahad.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, serbuan pada jam 12.15 tengah malam itu dilakukan hasil maklumat berkait dengan penyeludupan dan penjualan rokok seludup.

"Rampasan itu dilakukan hasil pemeriksaan ke atas sebuah rumah di kampung berkenaan," katanya pada majlis serah terima tugas Op Wawasan Kelantan antara Batalion 7 PGA Kuantan dengan Batalion 9 PGA Kuala Terengganu yang diwakili oleh Pegawai Pemerintah, Superintendan Mannadzar Nasib.

Hadir sama Komander Briged Tenggara, Asisten Komisioner, Hassan Basri Ahmad Safar yang menyaksikan majlis tersebut.

Mengulas lanjut, Azhari berkata, dalam serbuan itu PGA telah menahan seorang wanita berusia 31 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis berkenaan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati rokok-rokok tersebut dibawa masuk secara haram ke negara ini dari Thailand dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM26,730.

Katanya, kesemua rampasan dibawa ke Balai Polis Gual Ipoh untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.

Dalam perkembangan lain, Azhari berkata, pihaknya berjaya mematahkan aktiviti pengedaran dadah dan juga penjualan air ketum dalam satu serbuan di Kampung Air Resom, Tanah Merah.

"Serbuan jam 12.25 tengah malam itu, PGA telah menahan dua lelaki berusia 33 dan 36 tahun di dalam sebuah rumah.

"Hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan, pihak kami telah menjumpai 60 biji pil epam bernilai RM600 dan merampas lapan botol air ketum bernilai RM160.

"Selain itu, enam unit telefon bimbit bernilai RM6,000 turut di rampas dan kesemua tangkapan telah dibawa ke Balai Polis Gual Ipoh bagi tindakan lanjut di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 Akta Racun 1952," katanya.