Ibu bapa diberi kelonggaran lawat atlet pada Aidilfitri

Nur Azmi
Nur Azmi
A
A
A

TERPAKSA melupakan kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri selain mengasingkan diri daripada dunia luar semasa pelaksanaan ‘gelembung’ sukan, merupakan antara cabaran yang perlu diharungi atlet ke Sukan SEA Hanoi di Vietnam.

Bagaimanapun, para atlet terlibat boleh mengukir senyuman apabila dimaklumkan berhubung kelonggaran diberi buat ibu bapa mereka untuk bersemuka pada hari perayaan itu nanti seperti dimaklumkan Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan SEA Hanoi Datuk Nur Azmi Ahmad.

"Setelah atlet masuk ke sini (bubble), mereka telah dikawal rapi termasuk semasa hari perayaan itu mereka tidak dibenarkan untuk balik ke rumah masing-masing.

"Namun begitu, ibu bapa adalah dibenarkan untuk menemui atlet untuk tempoh dua hingga tiga jam seperti yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN)," katanya kepada pemberita di sini.

Ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) kontinjen Malaysia semasa di Vietnam, beliau berkata pihaknya sudah memberikan peringatan tegas supaya perkara itu dititikberatkan.

"Kami ikut SOP ditetapkan di sana dalam masa sama kami dah maklumkan kepada semua atlet, selain pengurus pasukan mahupun jurulatih supaya memastikan atlet mematuhi perkara itu.

"Jika tidak beri kebenaran kepada atlet merayau ke mana-mana, ia turut membabitkan pengurusan serta jurulatih berbuat demikian. Pastikan mereka tidak membawa penyakit. Itu yang lebih penting,” katanya.

Dalam temasya Sukan SEA Hanoi yang dijadual berlangsung dari 12 hingga 23 Mei, harapan Malaysia akan digalas oleh 864 orang kontinjen terdiri daripada 589 atlet dan 275 pegawai.

Malaysia bakal mengambil bahagian dalam 37 jenis sukan daripada keseluruhan 40 yang dipertandingkan melibatkan 338 acara daripada keseluruhan 526 acara. - Bernama