Peniaga bazar Ramadan raih jualan RM1.6 juta

Ab Rauf
Ab Rauf
A
A
A

MELAKA - Melaka Grand Ramadan Bazar (Melgrab) di Jalan Hang Tuah, di sini, membuktikan mampu menjadi medan perangsang ekonomi peniaga selepas berjaya mengutip hasil jualan mencecah RM1.6 juta.

Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata, bermula awal Ramadan hingga Ahad lalu, 95 peratus daripada 128 tapak gerai di Melgrab telah mencatat peningkatan jualan.

Menurutnya, situasi itu jelas menunjukkan kerancakan semula ekonomi sekali gus memulihkan sektor ekonomi Melaka untuk menarik lebih banyak pelabur.

"Begitu mengagumkan apabila 95 peratus gerai berjaya meraih jualan.

"Di akhir Ramadan saya difahamkan pengunjung terus membanjiri bazar Ramadan ini sehingga jam 1.30 pagi untuk membuat persiapan raya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Melgrab di Jalan Hang Tuah di sini, pada malam Ahad.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha memberi galakan dan semangat kepada golongan peniaga bagi berdepan suasana ekonomi yang mencabar.

"Malah rakyat Melaka mempunyai kuasa membeli yang cukup baik, secara tidak langsung dapat menjana ekonomi negeri.

"Kita juga sentiasa menggalakkan pelabur datang ke Melaka ini untuk menjana ekonomi baharu, bukan sahaja pasaran di kawasan ini tapi seluruh negeri," katanya.