Maria Chin dipenjara tujuh hari hina keputusan Mahkamah Syariah

Maria Chin - Foto Astro Awani
Maria Chin - Foto Astro Awani
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya mengkritik keputusan Mahkamah Syariah berhubung hukuman penjara terhadap bekas isteri ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin mengundang padah apabila beliau dipenjara tujuh hari oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Isnin.

Hakim Syarie, Mohamed Faouzi Mokhtar menjatuhi hukuman itu terhadap Maria Chin, 66, dan memerintahkan pemenjaraan bermula Isnin.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan hukuman ditangguhkan sementara rayuan dibuat.

“Mahkamah dengan ini mensabitkan perbuatan menghina mahkamah oleh responden (Maria Chin) melalui artikel yang diterbitkan pada 5 September 2019,” katanya.

Pada 9 September 2019, SM Faisal mengemukakan permohonan komital (menghina mahkamah) terhadap Maria Chin.

Sebulan kemudian, iaitu pada 14 Oktober 2019 permohonan tersebut dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

SM Faisal mendakwa wanita itu mengkritik keputusan mahkamah selepas menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap bekas isterinya, Emilia Hanafi kerana mengubah tarikh lawatan anak-anaknya untuk bersama bapa mereka.

Emilia kemudian dibebaskan dengan jaminan RM5,000 sementara menunggu rayuan.

Kenyataan Maria Chin yang menyatakan wanita Islam masih didiskriminasi di bawah sistem undang-undang Syariah Malaysia telah disiarkan di sebuah portal pada tahun sama.

Pasangan berkenaan bercerai pada 2016 dan hak penjagaan penuh terhadap tiga anak mereka, Fawwaz, Faiz dan Farhan diberikan sepenuhnya pada Emilia.