Sekampung gotong-royong sediakan juadah berbuka puasa

Kemeriahan Iftar Jamai'e Kampung Teluk Paku dirasai dengan kehadiran sebahagian besar penduduk yang tinggal di kampung itu.
Kemeriahan Iftar Jamai'e Kampung Teluk Paku dirasai dengan kehadiran sebahagian besar penduduk yang tinggal di kampung itu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kemeriahan berbuka puasa pada Ramadan kali ini kembali dirasai apabila 350 penduduk bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa di Dataran Kampung Teluk Paku, di sini.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Teluk Paku, Ayob Mamat berkata, acara yang menjadi tradisi penduduk kampung itu akhirnya dapat disemarakkan kembali selepas terhenti selama dua tahun disebabkan penularan Covid-19.

Seekor lembu ditumbangkan untuk dijadikan juadah utama sempena majlis berkenaan.
Seekor lembu ditumbangkan untuk dijadikan juadah utama sempena majlis berkenaan.

Menurutnya, acara dinamakan Iftar Jamai'e itu biasanya diadakan saban tahun sempena sambutan Nuzul al-Quran pada setiap 17 Ramadan.

"Kami semua bersyukur kerana selepas dua tahun negara dilanda pandemik, tahun ini acara tahunan di kampung ini boleh disemarakkan kembali.

"Tahun ini sambutan Nuzul al-Quran diadakan pada Selasa lalu (19 April) melibatkan majlis berbuka puasa secara besar-besaran yang disertai sebahagian besar penduduk kampung ini," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Penduduk kampung bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa.
Penduduk kampung bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa.

Katanya, persediaan untuk majlis itu dilakukan lebih awal iaitu bermula jam 10 pagi diikuti dengan solat fardu Maghrib, dan Isyak serta solat sunat tarawih secara berjemaah di masjid kampung berkenaan.

Beliau berkata, sebanyak 30 kilogram (kg) beras digunakan untuk memasak nasi, selain seekor lembu ditumbangkan untuk hidangan penduduk di kampung itu.

"Pada hari tersebut, seekor lembu disembelih dan dibahagikan pada dua bahagian iaitu untuk digulai dan digoreng.

"Selain itu, kita turut bergotong-royong menyediakan juadah lain antaranya telur masin, ikan masin dan kurma serta tembikai untuk pencuci mulut," katanya.

Penduduk kampung bergotong-royong menyediakan juadah untuk berbuka puasa bersama-sama di Dataran Kampung Teluk Paku.
Penduduk kampung bergotong-royong menyediakan juadah untuk berbuka puasa bersama-sama di Dataran Kampung Teluk Paku.

Sementara itu, beliau berkata, program berbuka bersama-sama penduduk kampung akan diadakan lagi pada 27 Ramadan ini menerusi acara tradisi menjelang penghujung Ramadan yang digelar malam tujuh likur.

"Pada majlis itu nanti, penduduk kampung akan memasak juadah masing-masing dan dibawa ke surau untuk kita nikmati bersama-sama. Lauk pauk yang dimasak tidak ditetapkan kerana ia bergantung kepada kemampuan setiap keluarga.

"Acara ini diadakan sekadar memeriahkan lagi bulan Ramadan serta menambahkan keceriaan pada bulan yang penuh kemuliaan ini," katanya.

Sebahagian penduduk kampung yang menyemarakkan Iftar Jamai'e di Kampung Teluk Paku di Kuala Terengganu.
Sebahagian penduduk kampung yang menyemarakkan Iftar Jamai'e di Kampung Teluk Paku di Kuala Terengganu.