Cuti 431 anggota, pegawai polis trafik di Pahang dibeku

Kamarulzaman memasang pelekat kempen Op Selamat kepada kereta pengguna jalan raya ketika melancarkan Pra Op Selamat tahun 2022 Kontinjen Pahang di Jambatan Sultan Abu Bakar.
Kamarulzaman memasang pelekat kempen Op Selamat kepada kereta pengguna jalan raya ketika melancarkan Pra Op Selamat tahun 2022 Kontinjen Pahang di Jambatan Sultan Abu Bakar.
A
A
A

PEKAN - Cuti 431 anggota dan pegawai polis bahagian Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang dibekukan bagi membantu kelancaran Op Selamat yang bermula Jumaat ini.

Ketua JSPT Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, pembekuan cuti itu bagi memastikan setiap anggota dan pegawai bersiap siaga untuk digerakkan bagi pemantauan lalu lintas pada bila-bila masa.

"Semua anggota dan pegawai di bawah seliaan saya telah dibekukan cuti dan mereka akan membantu menangani masalah kesesakan jalan raya serta mengatasi kemalangan di musim perayaan.

"Mereka ini (anggota dan pegawai) akan membuat rondaan bagi memastikan kurangnya berlaku kemalangan terutama di laluan tumpuan yang dijangkakan ataupun berdasarkan statistik tahun lepas laluan kerap kemalangan.

"Selain itu, rondaan bermotosikal turut ditempatkan di kawasan kerap berlaku kesesakan terutama di Bentong laluan Raub dan beberapa laluan lain bagi memastikan kesesakan dapat diatasi dengan kadar segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Pra Op Selamat tahun 2022 Kontinjen Pahang di Jambatan Sultan Abu Bakar menghala ke bandar Pekan pada malam Sabtu.

Kamarulzaman berkata, beberapa cara akan dilaksanakan sepanjang Op Selamat berlangsung seperti mengadakan penguatkuasaan dan tindakan tegas terhadap pesalah lalu lintas.

Beliau berkata, polis juga bertanggungjawab menguraikan kesesakan trafik yang berlaku di laluan di daerah Bentong, Raub, Lipis menghala ke Kelantan manakala dari Johor Bahru ke Pahang melalui Rompin, Muadzam Shah dan Keratong.

"Dalam tempoh itu, walaupun kita berfungsi sebagai penyurai kesesakan tetapi jika terdapat mereka yang melakukan kesalahan seperti memotong garisan kecemasan, memotong lorong secara berbahaya, melanggar lampu isyarat atau tidak mematuhi syarat lalu lintas, kita akan ambil tindakan tegas bagi memastikan kelancaran Op Selamat dan keselamatan pengguna jalan raya lain," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai Pra Op Selamat yang dilancarkan, Kamarulzaman berkata, kempen itu diadakan bagi memberi advokasi kepada pemandu kenderaan supaya memandu secara berhemah dan lebih bertimbang rasa.