Cahaya di Atas Cahaya, Sabariah dan swaterbit

Sabariah mengolah sajaknya dalam antologi Cahaya Atas Cahaya berasas kehendak sanubari.
Sabariah mengolah sajaknya dalam antologi Cahaya Atas Cahaya berasas kehendak sanubari.
A
A
A

SAJAK cerminan pemikiran penukangnya. Orang tidak menukang sajak kerana saja-saja tetapi kehendak sanubari menggesanya menukangi sesebuah sajak.

Namun, terdapat sesetengah penukang sajak tidak diarah oleh sanubari sebaliknya mata kembaranya yang mengolah minda bagi merangsang deria untuk menukangi sajak. Sesebuah sajak tercipta kerana peristiwa, mata kembaranya melihat lalu merenung dan mencanai, bergelumang dan berserabut dalam minda, akhirnya terpancullah sebuah sajak.

Justeru, Sabariah Bahari menukangi sajak-sajak dalam antologi Cahaya di Atas Cahaya (CdAC) berasas kepada kehendak sanubari. Dia tidak melihat peristiwa tetapi sanubarilah yang menggesa derianya menukangi sesebuah sajak. Bacalah CdAC yang mengandungi 92 kuntum sajak, hampir 80 peratus dihasilkan menerusi kehendak sanubari.

Hakikatnya, sajak yang mahu bertarung dalam mana-mana sayembara, lazimnya sajak yang dilahirkan menerusi sebab peristiwa akan tewas berbanding sajak-sajak tercipta dari sanubari si penukang sajak. Kenapa?

Sajak yang terlahir daripada peristiwa sering terikat dan terbelenggu dalam lingkungan personafikasi dan metafora peristiwa lalu rebah di bawah sedar terhasillah sajak berinformatif sifatnya, kurang pemikiran atau falsafah tetapi sajak yang tercipta menerusi kehendak sanubari akan kaya dengan pemikiran atau falsafah yang menjadi asas penilaian mutu oleh para pengadil.

Seorang penyair mapan yang masak dengan karenah menukangi sesebuah sajak, Sabariah Bahari tanpa ragu-ragu melontar pemikirannya secara intrinsik manipulatif yang tersembunyi dalam simbol dan metafora.

Dia cuba mengetengahkan perkataan cahaya menjadi dominan supaya pemikiran yang diutarakan dapat dikesan oleh pembaca lalu melebihi sedozen sajaknya berputar-putar dengan perkataan tersebut. Misalnya, Cahaya di Atas Cahaya, hlm.12, Cahaya Harapan (14), Cahaya Kian Dekat (15), Cahaya (16), Kukejar Cahaya di Atas Cahaya (29), Mencari Cahaya (38), Seberkas Cahaya (27), Muhasabah (90), Takdir (93), Makrifat (94), Perjalanan (97) dan lain-lain merupakan sajak-sajak di dalam antologi ini yang berputar-putar dengan perkataan cahaya.

Perumpamaan

Bagi penyair, cahaya merupakan nikmat, peringatan dan kebahagiaan sebagaimana petikan surah an-Nur:35-38 yang menyebut: (Bintang yang bercahaya) seperti mutiara cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis) Allah membimbing kepada cahayanya, siapa yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Namun begitu, terdapat juga mesej klise dalam CdAC yang tidak dapat dihindarkan oleh penyair kerana ia mempengaruhi kehidupan si penukang sajak. Antaranya mesej kritikan sosial, pesanan, kerinduan, nasihat kepada keluarga, kesedihan dan sebagainya.

umrah kehidupan seseorang manusia acapkali dibicarakan baik menerusi novel, cerpen apatah lagi sajak termasuk juga dalam kluster cahaya yang dibicarakan menerusi beberapa kuntum-kuntum sajak di dalam antologi ini.

Sabariah Bahari sudah tiga dekad berkecimpung dengan alam penulisan kreatif sehingga melahirkan kumpulan puisi Suara Cinta (Kayacipta: 2013), kumpulan cerpen Sewajah Duka (Karyawan Pk: 2014), novel Pelarian Kasih (Rhythm) selain CdAC (2020) sebagai anak sulung swaterbitnya.

Ada sebuah sajaknya berjudul Bacalah dalam Bahasamu dipilih oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk teks moden Kesusasteraan Melayu KBSM Tingkatan 4 & 5 pada tahun 2000 (Biografi Penulis Perak Jld 1:2020) Swaterbit.

Pertama kali beliau menceburi penerbitan karya menerusi konsep swaterbit, hasilnya berjaya dari segi pemilihan sajak sesuai dengan matlamat penerbitan, reka bentuk, halaman judul menarik, susun-atur yang kemas serta dilengakapi dengan ISBN dan PDP (Pengkatalogan dalam Penerbitan) mampu bersaing dengan produk rumah penerbitan ternama.

Program swaterbit diistilahkan sebagai kerja-kerja penulisan dan penerbitan dilakukan oleh seseorang penulis tanpa melibatkan rumah penerbitan secara langsung.

Kini, dilihat sebilangan besar produk rumah penerbitan ternama berkurangan dan terbatas, malah fungsinya untuk melebarkan radius arena persuratan dan kesusasteraan kebangsaan agak terencat dan tersekat semata-mata kerana halangan kos pengeluaran yang kian meningkat.

Justeru banyak rumah penerbitan dan kedai buku gulung tikar. Industri buku negara perlu dimekarkan kerana sepuluh peratus daripada jumlah penduduk Malaysia bersamaan dengan anggaran 30,000 judul buku harus diterbitkan setahun bagi memenuhi syarat sebagai sebuah negara maju bagi mengukur taraf pendidikan dan intelek warganegara.

Langkah Sabariah menerbitkan sendiri kumpulan puisi CdAC amat releven dan seharusnya diberi pujian kerana bukan sahaja tujuannya untuk mengembangkan ilmu tetapi memberi sedikit cahaya lilin kepada industri buku di negara ini.

Justeru, program swaterbit seperti yang dilakukan oleh Sabariah wajar dicontohi oleh lain-lain penulis atau penyair demi perkembangan sastera nasional.

Sesungguhnya, Sabariah salah seorang penyair wanita yang berani mengeluarkan modal untuk menerbitkan karyanya sendiri. Jangan terperangkap dengan persepsi negatif yang mendakwa karya swaterbit sebagai syok sendiri atau tiada bermutu. Ini pandang salah!

Sesungguhnya, negeri Perak telah melahirkan Sabariah Bahari bukan seorang pencerita walaupun dia telah menghasilkan Pelarian Kasih, novel sulungnya tetapi dia dilahirkan sebagai seorang penyair.

Dia telah memiliki Suara Cinta (Kayacipta, 2013) kumpulan sajak dan CdAC adalah kumpula keduanya. Menerusi sajak, Sabariah Bahari lebih berjaya menyampaikan pemikirannya berbanding cerpen mahupun novel.

* M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)