Ringgit kekal berdaya saing, inflasi terkawal: MOF

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mata wang tempatan kekal berdaya saing manakala inflasi terkawal walaupun terdapat gangguan daripada ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan global, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Katanya, kedudukan luaran Malaysia yang kukuh, termasuk lebihan akaun semasa yang baik dan kedudukan pemiutang luaran bersih telah meningkatkan keupayaan negara dengan ketara untuk bertahan daripada ketidaktentuan dan kejutan luaran tersebut.

"Tambahan pula, asas-asas Malaysia kekal teguh seperti yang ditunjukkan oleh pertumbuhan dan daya saing eksport yang konsisten, rizab antarabangsa yang mencukupi serta trajektori inflasi yang rendah berbanding negara di rantau ini.

"Kesemua ini dijangka dapat terus menampan penurunan ringgit,” menurut MoF dalam kenyataan hari ini.

Ringgit mencecah paras 4.30 berbanding dolar AS pada Jumaat lepas, paras terakhir dilihat pada Jun 2020.

Menurut MoF, penyusutan nilai ringgit secara umumnya turut mengikuti jejak penyusutan mata wang utama dan serantau.

"Prospek mengetatkan dasar monetari secara lebih agresif oleh Bank Pusat Amerika Syarikat (AS) dengan kenaikan kadar 50 mata asas dijangka dilaksanakan pada Mei dan kelemahan keseluruhan mata wang di rantau ini merupakan sebahagian faktor yang turut mempengaruhi pergerakan nilai ringgit baru-baru ini,” katanya.

Setakat ini, purata dagangan tukaran asing dalam pesisir harian ialah AS$12.6 bilion berbanding AS$11.3 bilion pada 2021, dengan purata turun naik 3.9 peratus (purata 2021: 4.6 peratus).

"Nilai ringgit yang fleksibel akan terus memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia dengan memudahkan pelarasan sektor luaran yang bersesuaian dan melindungi ekonomi domestik daripada kejutan global yang memberikan kesan negatif,” menurut MoF.

Katanya, dasar kawalan harga yang dikenakan oleh kerajaan dan subsidi yang diperuntukkan untuk petroleum RON95 dan pelbagai barangan makanan akan melindungi rakyat daripada sebarang implikasi tekanan inflasi.

"Kadar inflasi Malaysia pada tahun ini dijangka berada antara 2.2 peratus dan 3.2 peratus (2021: 2.5 peratus) iaitu lebih rendah berbanding negara lain dalam ASEAN,” katanya.

Menurut MoF, ini disokong oleh pengumuman Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) baru-baru ini mengenai kadar inflasi bagi bulan Mac 2022 yang kekal pada kadar sama dengan bulan Februari iaitu 2.2 peratus.

Melangkah ke hadapan, katanya, MoF dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memantau kedua-dua risiko kewangan dan bukan kewangan terhadap ekonomi negara.

Ini termasuk ketegangan geopolitik baru-baru ini dan bagaimana ia akan menjejaskan rantaian bekalan global yang mungkin memberi tekanan inflasi yang lebih tinggi serta meningkatkan ketidaktentuan dalam pasaran pertukaran asing serta pasaran kewangan di Malaysia.

"BNM akan terus mengukuhkan kelancaran operasi pasaran pertukaran asing tempatan dengan sentiasa memastikan kecairan yang mencukupi serta memastikan perniagaan boleh merancang dan menjalankan aktiviti perdagangan serta transaksi pelaburan dengan lebih yakin,” katanya. - Bernama