Bangunan kedai terbakar, dua penghuni selamat

Gambar kiri: Kebakaran melibatkan tingkat tiga bangunan kedai di Jalan Pasir Puteh, Ipoh. Gambar kanan: Anggota bomba menggunakan tangga bagi melakukan pemadaman di tingkat tiga bangunan kedai yang dihuni dua mangsa di Jalan Pasir Puteh, Ipoh. - Foto Ihsan JBPM Perak
Gambar kiri: Kebakaran melibatkan tingkat tiga bangunan kedai di Jalan Pasir Puteh, Ipoh. Gambar kanan: Anggota bomba menggunakan tangga bagi melakukan pemadaman di tingkat tiga bangunan kedai yang dihuni dua mangsa di Jalan Pasir Puteh, Ipoh. - Foto Ihsan JBPM Perak
A
A
A

IPOH - Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan dua penghuni bangunan kedai tiga tingkat daripada lemas dalam kejadian kebakaran di Jalan Pasir Puteh di sini pada Sabtu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Mohamad Fadzeli Che Husin berkata, seorang lelaki yang juga orang kurang upaya (OKU) dan seorang wanita ditemukan dalam keadaan lemah dan mengalami sesak nafas akibat terhidu asap.

"Balai bomba menerima panggilan pada jam 8.04 pagi dan setibanya di lokasi kejadian, pasukan dimaklumkan terdapat mangsa di tingkat dua.

"Bagaimanapun anggota yang melakukan pencarian berjaya menjumpai kedua-dua mangsa di pintu bilik di tingkat tiga. Mereka dibawa turun untuk diberikan rawatan awal," katanya ketika dihubungi pada Sabtu

Menurutnya, kedua-dua mangsa berusia lingkungan 50-an itu diberi rawatan oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

"Operasi diteruskan dengan melakukan pemadaman melibatkan kekuatan 34 anggota dari BBP Pasir Puteh, BBP Ipoh serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Menglembu, Pasir Pinji dan Pekan Baharu.

"Kebakaran itu memusnahkan 40 peratus perkakasan dan struktur bangunan. Punca kebakaran masih dalam siasatan dan operasi tamat pada jam 9.45 pagi," katanya.