Tujuh remaja buat aksi 'wheelie' ditahan

Seramai tujuh remaja ditahan kerana menunggang motosikal dengan melakukan aksi ‘wheelie’ di Jalan Kota Seribong, pada Jumaat dibawa ke IPD Kota Bharu untuk tindakan lanjut. - Foto Ihsan PDRM
Seramai tujuh remaja ditahan kerana menunggang motosikal dengan melakukan aksi ‘wheelie’ di Jalan Kota Seribong, pada Jumaat dibawa ke IPD Kota Bharu untuk tindakan lanjut. - Foto Ihsan PDRM
A
A
A

KOTA BHARU - Tujuh remaja berusia antara 15 sehingga 17 tahun ditahan kerana menunggang motosikal dengan melakukan aksi ‘wheelie’ di Jalan Kota Seribong, di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, mereka ditahan menerusi Op Samseng Jalanan bermula dari jam 5 petang sehingga jam 11 malam dan tangkapan dilakukan hasil pemerhatian selama seminggu di lokasi tersebut.

“Mereka melakukan aksi menduga kelajuan dan ‘wheelie’ yang berbahaya kepada nyawa sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Mohd Rosdi, sebanyak 38 motosikal milik penonton yang menyaksikan aksi ‘wheelie’ tersebut turut diperiksa dan 40 saman membabitkan kesalahan trafik dikeluarkan.

“Antara saman yang dikeluarkan adalah menunggang di bawah umur dan tidak memiliki lesen, tidak memakai topi keledar, lampu tidak berfungsi serta pengubahsuaian ekzos.

“Seterusnya, kesemua penunggang aksi berbahaya tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan akan dikenakan perintah reman pada hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda minimum RM 5,000 sehingga maksimum RM 15,000 dan penjara minimum lima tahun serta hilang kelayakan lesen memandu selama lima tahun, jika sabit kesalahan,” katanya.