Dua lelaki parah terkena besi dilibas wanita mengamuk

No Image Caption
A
A
A

BATU PAHAT - Seorang lelaki dan bapa mentuanya cedera parah selepas terkena besi dilibas seorang wanita warga asing yang mengamuk di hadapan rumah mereka di Taman Setia Jaya di sini pada Khamis.

Dalam kejadian pada jam 5.30 petang, wanita berusia 37 tahun yang merupakan jiran datang ke pekarangan rumah mereka lalu membuat bising dan menjerit-jerit sambil melibas sebatang besi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superitendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, beberapa ahli keluarga kemudian keluar dari rumah dan menenangkan wanita asing tersebut.

"Ahli keluarga mangsa meminta suspek supaya pulang ke rumah. Mereka bimbang perbuatan suspek akan merosakkan sebuah kereta milik keluarga mereka yang berada depan rumah.

"Suspek semakin bertindak agresif dan mula menyerang serta mengejar seorang wanita daripada keluarga mangsa kerana merakamkan perbuatan suspek menggunakan telefon bimbit," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya, semasa suami dan bapa wanita berkenaan cuba menenangkan serta menghalang tindakan suspek, mereka berdua terkena libasan besi.

"Suami wanita berkenaan yang berusia 41 tahun luka di bahagian hidung dan bibir manakala bapanya yang berusia 65 tahun bengkak mata kanan dan patah sebatang gigi.

"Kedua-dua mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail di sini sementara wanita yang cuba diserang suspek tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata, sejurus menerima laporan kejadian itu pihak polis pergi ke tempat kejadian dan menahan suspek serta merampas besi tersebut.

"Suspek direman selama lima hari bermula Jumaat untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata, jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun atau denda atau sebat," katanya.