Kes denggi di kawasan MBSJ masih terkawal

Johary (tengah) bersama kanak-kanak austime daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) ketika merasmikan taman permainan inklusif di USJ 11/5 pada Jumaat.
Johary (tengah) bersama kanak-kanak austime daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) ketika merasmikan taman permainan inklusif di USJ 11/5 pada Jumaat.
A
A
A

SUBANG JAYA - Kes demam denggi dalam kawasan seliaan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) masih terkawal jika dibandingkan dengan kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lain.

Datuk Bandar MBSJ, Datuk Johary Anuar berkata, setakat ini hanya tiga titik panas dikesan dalam kawasan seliaan pihaknya iaitu di USJ 11, USJ2 dan SS19, di sini.

Bagaimanapun, Johary mengingatkan masyarakat setempat meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit untuk memeriksa tempat berpotensi bagi pembiakan nyamuk aedes dalam usaha mengekang penularan demam denggi.

"Kami masih melaksanakan program cari dan musnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes, jadi kami harap masyarakat menggunakan masa 10 minit sehari untuk memeriksa kawasan rumah kerana mereka gemar menanam pokok untuk mengindahkan kediaman.

"Apa yang kita buat adalah mendidik mereka bagi memastikan penyakit denggi tidak memburuk di kawasan mereka. Namun jika masih berdegil, mereka semestinya akan dikompaun," katanya ketika sidang akhbar Perasmian Taman Permainan Inklusif di USJ 11/5 pada Jumaat.

Pada hari sama, MBSJ turut merasmikan sebuah taman permainan inklusif yang direka khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan austime supaya mereka dapat beriadah di kawasan lapang dan menggunakan kemudahan sama seperti orang lain.

Ujarnya, MBSJ membina tiga set permainan untuk golongan terbabit di Taman Awam USJ 11/5 di sini yang siap dibina pada tahun lalu manakala di Jalan PP22, Pinggiran Putra dan Jalan Tempua 9, Puchong Jaya pula siap pada Februari tahun ini.

"Ini adalah komitmen MBSJ selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan Pelan Tindakan Bandar Hijau Mesra Wanita MBSJ 2019-2021, yang mana ia adalah kemudahan pertama kita buat di MBSJ dengan memberikan tumpukan di taman-taman bersaiz besar.

"Ketiga-tiga taman ini inklusif ini mula dibina sejak tahun 2021 dan kita akan tambah dua lagi set permainan di Puchong dan Seri Kembangan untuk tahun ini," katanya.