Maritim Pulau Pinang rampas 28 set bubu naga

Anggota Maritim mengangkat bubu naga yang dikesan dipasang di perairan Batu Kawan, pada Khamis.
Anggota Maritim mengangkat bubu naga yang dikesan dipasang di perairan Batu Kawan, pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang merampas 28 set bubu naga di dua lokasi perairan negeri tersebut, pada Khamis.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kesemua bubu naga itu dikesan di kedudukan lebih kurang 0.3 batu nautika barat laut perairan Batu Kawan oleh anggotanya ketika melakukan rutin rondaan operasi bersepadu Op Pertiwi/Benten Laut kira-kira jam 9.30 malam.

Menurutnya, pasukan operasi mengesan beberapa pelampung di permukaan air yang mencurigakan dan disyaki penanda bubu naga.

"Hasil pemeriksaan di kedua-dua lokasi berjaya menemukan 28 set bubu naga yang dipasang oleh individu tidak bertanggungjawab.

"Kesemua bubu naga tersebut dirampas dengan anggaran nilai RM3,360 dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Abd Razak berkata, penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

Katanya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus hubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146.