Azam pertahan gelaran penjaring tempatan terbanyak Liga Premier

Nurshamil
Nurshamil
A
A
A

PENYERANG prolifik Kelantan FC, Nurshamil Abdul Ghani berazam mempertahankan gelaran penjaring tempatan terbanyak Liga Premier musim ini.

Penyerang berusia 27 tahun itu yakin akan dapat menggapai impian tersebut selepas beliau yang kini telah mencatatkan tiga jaringan hanya memerlukan enam atau lebih jaringan untuk sekurang-kurangnya menyamai rekod jaringan musim lepas iaitu sembilan jaringan.

“Saya akan memberikan persembahan terbaik dalam setiap perlawanan untuk memastikan saya mampu meledak gol dan pastinya mahu menjaringkan lebih daripada sembilan gol sebagaimana pencapaian saya pada musim lepas.

“Ketika ini, selepas mengharungi lima perlawanan, saya mampu menjaringkan tiga gol dan ia sebagai motivasi serta pembakar semangat kepada saya untuk mempertahankan anugerah dimenangi musim lalu dan membawa pasukan ini menyertai Liga Super musim depan,” katanya.

Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK21) pada Disember lalu yang diadakan secara maya menobatkan Nurshamil sebagai Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier 2021 selepas meledak sembilan gol.

Selain berazam mempertahankan gelaran itu, pemain kelahiran Melaka itu turut menanam hasrat menyarung jersi kebangsaan sekiranya diberi ruang dan peluang menyertai kem latihan pusat.

“Sejak saya menyertai arena bola sepak ini, saya memang berhasrat untuk menyarung jersi kebangsaan namun untuk ke arah itu, saya perlu berusaha lebih kuat dan gigih lagi kerana persaingan terlalu ramai daripada pemain pasukan lain juga,” katanya. - Bernama