MFL dijangka ubah jadual Liga-M

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) berkemungkinan mengubah jadual Liga Malaysia (Liga-M), bagi memberi laluan kepada pemain yang terlibat untuk melapor diri menjalani latihan pusat Sukan SEA Hanoi, sebelum 1 Mei.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam mengakui, pihaknya mengadakan perbincangan bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam melaksanakan perubahan jadual Liga-M itu.

Bagaimanapun, Stuart tidak menolak kemungkinan MFL selaku badan pentabdir Liga-M, akan mengutamakan penjadualan semula perlawanan melibatkan pasukan yang memiliki ramai pemain dipanggil menyertai latihan pusat skuad Kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23), kendalian Brad Maloney.

“Memang ada perbincangan antara MFL dan FAM mengenai percaturan kalendar liga bagi memberi ruang panggil pemain terlibat dengan Sukan SEA.

“Namun, perkara ini memerlukan kerjasama bukan sahaja MFL dan FAM malah pasukan terlibat...Saya sedang kerja keras bersama sekretariat untuk urus yang terbaik untuk FAM, dan dalam sehari dua lagi saya akan buat pengumuman mengenai kalendar (Liga-M),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pengumuman penajaan minyak masak jenama Alif sebagai penaja Liga-M, yang turut dihadiri Pengarah Urusan Sime Darby Oils (SDO) Mohd Haris Mohd Arshad pada Rabu.

Pada Selasa, hanya lima daripada 31 pemain yang dipanggil menyertai latihan pusat hadir iaitu Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Muhammad Fahmi Daniel Mohd Zaaim, Muhammad Faiz Amer Runnizar, Muhammad Shafi Azswad Sapari dan Muhammad Haqimi Azim Rosli.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B pada temasya dwitahunan itu akan berhadapan Thailand pada 7 Mei, sebelum bertemu Laos (11 Mei), Singapura (14 Mei) dan Kemboja (16 Mei) di Stadium Thien Truong di Nam Dinh. Hanya dua pasukan terbaik kumpulan layak ke separuh akhir.

Kali terakhir Malaysia memenangi ibu segala pingat di Sukan SEA adalah pada edisi 2011 di Indonesia, di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee. - Bernama