Nauraj tekad kekalkan penguasaan lompat tinggi di Hanoi

Nauraj Singh Randhawa
Nauraj Singh Randhawa
A
A
A

NAURAJ Singh Randhawa berharap untuk meneruskan penguasaan Malaysia dalam acara lompat tinggi lelaki di Sukan SEA, walau tanpa kehadiran juara bertahan yang juga bekas rakan sepasukan, Lee Hup Wei.

Malaysia meraih pingat emas acara lompat tinggi lelaki sejak edisi 1977 temasya dwitahunan itu, kecuali pada 2005 di Manila, menyaksikan atlet dari Vietnam Nguyen Duy Bang memenangi emas.

Nauraj yang juga pemegang rekod kebangsaan 2.30 meter (m) adalah pemenang pingat emas tiga kali berturut-turut pada edisi 2013 di Naypyidaw, 2015 di Singapura and 2017 di Kuala Lumpur.

Atlet berusia 30 tahun itu terlepas gelaran juara apabila Hup Wei meraih pingat emas pada edisi 2019 di Filipina selepas kiraan semula berikutan kedua-dua atlet itu melakukan lompatan 2.21m.

Selepas persaraan Hup Wei, Nauraj bakal diiringi seorang lagi jaguh lompat tinggi negara Eizlan Dahalan, 22, pada temasya Sukan SEA Hanoi yang dijadual pada 12 hingga 23 Mei dan bertekad membawa pulang pingat emas buat Malaysia.

"Saya mahu menang pingat emas buat Malaysia, saya tidak begitu berminat dengan ketinggian (untuk melakukan catatan terbaik musim), jadi tidak mengapa. Saya cuba berada dalam keadaan terbaik untuk Sukan SEA

"Saya akan tampil di sana dengan memberikan sepenuh keupayaan saya, 110 peratus, apa saja datang dengan itu, saya akan sangat gembira,” katanya ketika majlis penajaan bersama Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) di Majlis Sukan Negara di sini pada Khamis.

Nauraj yang melakukan catatan terbaik musim 2.27m di kejohanan tertutup pada Januari berkata beliau memberikan perhatian seimbang kepada semua kejohanan utama tahun ini bermula Sukan SEA, diikuti Sukan Komanwel di Birmingham pada 28 Julai hingga 8 Ogos dan Sukan Asia di Hangzhou pada 10 hingga 25 September.

Sementara itu, atlet kelahiran Johor berpangkalan di Jerman berkata, kerjasama dengan AMB membekalkan beliau dengan hidangan berkhasiat yang bermanfaat untuk mencapai tahap lebih tinggi dari segi prestasi dan mempercepatkan proses pemulihan.

Selain Nauraj, atlet heptatlon Norliyana Kamaruddin dan ratu lempar cakera negara Queenie Ting Kung Ni turut dihidangkan dengan diet seimbang dalam program nutrisi sukan 'Winning Meals Kachimeshi', iaitu hidangan bernutrisi yang sesuai serta minuman asid aminoVITAL (minuman jeli dengan asid amino). - Bernama