Kematian penyu jejas usaha konservasi: Pakar

Kematian penyu dewasa yang sering berlaku kebelakangan ini sangat membimbangkan. - Gambar hiasan
Kematian penyu dewasa yang sering berlaku kebelakangan ini sangat membimbangkan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kematian penyu dewasa bersaiz besar yang sering berlaku kebelakangan ini sangat membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan usaha konservasi populasi haiwan marin terancam itu.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Uzair Rusli berkata, hasil kajian 26 tahun di Stesen Penyelidikan Penyu Pantai Chagar Hutang UMT di Pulau Redang mendapati ibu penyu bersaiz besar mempunyai daya reproduktif yang sangat tinggi.

"Ia mempunyai kapasiti yang tinggi untuk mengeluarkan telur yang banyak seterusnya meningkatkan lagi peluang untuk anak-anak penyu itu berjaya hidup hingga mencapai usia matang sekitar 20 hingga 30 tahun.

"Alangkah malangnya buat negara apabila kematian demi kematian ibu penyu yang bersaiz besar ini berlaku kerana ini akan merencatkan proses pemulihan populasi penyu di negara kita," katanya kepada Bernama.

Sejak Jumaat lepas, enam kematian penyu dilaporkan dalam tempoh enam hari berturut-turut di Pantai Timur iaitu di perairan Pulau Redang (dua kes), Pulau Kapas (dua kes) dan masing-masing satu kes di Pulau Perhentian dan Pulau Tioman, Pahang.

Mohd Uzair berkata, dari aspek fisiologi dan tingkah laku haiwan pula, anak penyu yang menetas dalam sarang yang mempunyai bilangan telur yang banyak mampu mengurangkan kadar penggunaan tenaga menggali pasir untuk keluar daripada sarangnya.

"Anak penyu yang baru menetas di dalam sarang yang berkedalaman kira-kira 50 hingga 80 sentimeter ini memerlukan masa lima hingga tujuh hari untuk menggali naik keluar ke permukaan sarangnya. Proses ini memerlukan anak penyu menggunakan hampir separuh daripada tenaga simpanan mereka.

"Oleh kerana anak penyu perlu mempunyai bekalan tenaga dan cergas sepenuhnya ketika memulakan hari-hari awal renangan mereka di laut, pembaziran tenaga ketika menggali keluar daripada sarang ini akan menyebabkan mereka lemah dan berisiko tinggi untuk menjadi mangsa ketika fasa awal renangan," katanya.

Menurut kajian terbaharu UMT yang diterbitkan pada 19 April 2022 di Global Ecology and Biogeography, usaha pemantauan aktiviti persarangan di Pulau Redang hampir 30 tahun lepas telah membuahkan hasil dengan peningkatan saiz ibu penyu dewasa kembali bersarang dalam jumlah yang banyak.

Tambah beliau, pihaknya bimbang jika berlaku peningkatan trend kematian ibu penyu ini dalam jumlah yang banyak akan menjejaskan usaha konservasi yang dilakukan sejak berpuluh tahun lalu. - Bernama