Kastam Johor tahan empat PATI, rampas dadah

PATI yang ditahan JKDM Johor di pesisir pantai Rengit, Batu Paha, pada Ahad.
PATI yang ditahan JKDM Johor di pesisir pantai Rengit, Batu Paha, pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia ( JKDM) Johor berjaya menahan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) bersama dadah seberat 10 gram di pesisir pantai Rengit, Batu Pahat, pada Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 6.45 petang, anggota Unit Marin Bahagian Penguatkuasaan Sungai Pulai, terserempak dengan sebuah teksi jenis Proton Exora yang mencurigakan semasa membuat rondaan berhampiran Jalan Kampung Sungai Mengkudu.

Pengarah JKDM Johor, Sazali Mohamad berkata, ketika diekori, kenderaan terbabit berhenti di tepi jalan dan salah seorang penumpang keluar melarikan diri ke ladang sawit berhampiran.

Katanya, tindakan pantas anggotanya berjaya memberkas penumpang tersebut.

"Seramai empat PATI dan seorang pemandu teksi warga tempatan berusia lingkungan 34 hingga 55 tahun di dalam kenderaan tersebut.

"Hasil pemeriksaan dilakukan menemukan sebuah bungkusan mampat yang disyaki dadah di ruangan alas kaki tempat duduk hadapan di sebelah pemandu kenderaan" katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Menurut Sazali, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua warga asing tersebut gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

"Hasil analisa pasukan narkotik mendapati bungkusan mampat tersebut mengandungi dadah jenis methamphetamine sebanyak dua gram dan ketulan mampat disyaki ganja seberat lapan gram.

"Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas semua PATI dan pemandu teksi mendapati mereka positif dadah. Kes disiasat di bawah Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670)," katanya.