Remaja bawah umur antara 384 ditahan menagih dadah

Mohd Yusri (tengah) menunjukkan barangan rampasan pada sidang media berhubung kejayaan JSJN dalam Op Tapis Khas SeMalaysia.
Mohd Yusri (tengah) menunjukkan barangan rampasan pada sidang media berhubung kejayaan JSJN dalam Op Tapis Khas SeMalaysia.
A
A
A

KUANTAN - Remaja bawah umur dan 56 pengedar dadah antara 384 individu yang ditahan dalam 258 serbuan bersempena Op Tapis Khas SeMalaysia yang diadakan serentak di 11 daerah bermula 18 hingga 20 April lalu.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, remaja berusia 16 tahun itu dipercayai baru terlibat dalam aktiviti penagihan dadah dan berjaya ditahan dalam satu serbuan yang diadakan di sebuah tanah rancangan Felda di Raub.

Menurutnya, kesemua suspek berusia 16 hingga 67 tahun itu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah selepas polis menggempur 24 kawasan penagihan yang dikenal pasti melalui risikan sebelum ini.

"Daripada jumlah penahanan itu, kita berjaya mengesan 56 individu yang merupakan penagih tegar atau berulang dan tindakan diambil di bawah Seksyen 36c Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta 14 individu lagi adalah individu dikehendaki.

"Kita juga merampas 145.07 gram syabu, 124.43 heroin, 2320.04 gram ganja, 3.84 gram erimin 5, 98.92 gram pil yaba, 28.18 liter air ketum dan 400.7 gram daun ketum dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM42,462.

“Selain itu, turut dirampas wang tunai berjumlah RM59,570, tujuh buah kenderaan keseluruhan bernilai RM138,500 dan barang kemas bernilai RM22,324 dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan dan sitaan adalah sebanyak RM262,856,” katanya.

Mohd Yusri (dua dari kiri) menunjukkan kawasan-kawasan serbuan dalam Op Tapis Khas SeMalaysia yang diadakan tiga hari berakhir pada Rabu.
Mohd Yusri (dua dari kiri) menunjukkan kawasan-kawasan serbuan dalam Op Tapis Khas SeMalaysia yang diadakan tiga hari berakhir pada Rabu.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang dalam Op Tapis Khas SeMalaysia di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini pada Khamis.

Mohd Yusri menjelaskan operasi yang dilaksanakan bukan hanya tertumpu di kawasan Felda, tetapi melibatkan tujuh jeti dan perkampungan nelayan di daerah Kuantan, Pekan serta Rompin.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan itu sekali gus melumpuhkan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah yang menjadi kegusaran dalam kalangan masyarakat.

"Ini adalah operasi ketiga yang diadakan pada tahun ini dan usaha seumpama ini akan terus dilaksanakan bagi membanteras masalah penyalahgunaan dadah sehingga ke akar umbi.

“JSJN akan terus meningkatkan pertuduhan di bawah Seksyen 39c Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman yang tinggi kepada penagih tegar dalam usaha mengasingkan mereka dari generasi muda dalam tempoh lebih lama supaya mereka tidak mempengaruhi generasi muda untuk menagih dadah,” katanya.