Kantoi simpan rokok seludup di rumah kakak ipar

Sebanyak 8,300 kotak rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM41,500 dirampas hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Felda Chini 2, Isnin lalu.
Sebanyak 8,300 kotak rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM41,500 dirampas hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Felda Chini 2, Isnin lalu.
A
A
A

PEKAN - Seorang lelaki dipercayai pengedar rokok seludup menjadikan rumah kakak ipar di Felda Chini 2 di sini sebagai tempat simpanan sementara 8,300 kotak rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM41,500 bagi mengelak dikesan polis.

Suspek berusia 33 tahun itu menjadikan rumah sewa dihuni kakak iparnya bersama tiga anak sebagai tempat simpanan sementara bekalan rokok tersebut selepas stor sedia ada sudah diketahui polis.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, taktik suspek gagal apabila rumah wanita tersebut diserbu pihak polis awal pagi Isnin lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas rumah tersebut, polis merampas bekalan rokok yang ditemui di ruang tamu dan di dalam almari di rumah berkenaan.

"Susulan penemuan rokok disyaki tidak lulus kastam itu, polis menahan wanita berusia 37 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai untuk siasatan lanjut.

"Hasil soal siasat ke atas wanita itu mendapati, bekalan rokok seludup itu milik adik ipar yang disimpan sementara di rumahnya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan di sini pada Khamis.

Mohd Zaidi berkata, bertindak atas maklumat, suspek (pemilik rokok) berjaya ditahan kira-kira jam 3.30 petang hari yang sama.

Mohd Zaidi (tengah) bersama dua pegawainya menunjukkan bekalan rokok seludup yang dirampas daripada suspek hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Felda Chini 2, Isnin lalu.
Mohd Zaidi (tengah) bersama dua pegawainya menunjukkan bekalan rokok seludup yang dirampas daripada suspek hasil serbuan ke atas sebuah rumah di Felda Chini 2, Isnin lalu.

"Hasil soal siasat, suspek mengaku rokok itu miliknya dan ia untuk dijual kepada pekerja asing yang tinggal di rumah-rumah kongsi sekitar kawasan Chini.

"Suspek yang juga pekebun kelapa sawit dan pisang turut mengaku telah menjalankan kegiatan itu kira-kira setahun lalu," katanya.

Beliau berkata, suspek menerima bekalan rokok itu daripada seorang lelaki yang dihantar empat kali sebulan melalui bayaran secara tunai dan hutang.

Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

"Suspek wanita dibebaskan dengan jaminan polis atas alasan memiliki anak kecil," katanya.

Mohd Zaidi berkata, semakan rekod mendapat suspek lelaki memiliki dua rekod jenayah lampau berkait kes curi.

Katanya, polis kini sedang mengesan pembekal utama bekalan rokok seludup itu untuk diambil tindakan sewajarnya.