Sotong bakar, pulut panggang juadah berbuka Agong, Permaisuri

Al-Sultan Abdullah berkenan beramah mesra dengan orang ramai di padang MBK 1.
Al-Sultan Abdullah berkenan beramah mesra dengan orang ramai di padang MBK 1.
A
A
A

KUANTAN - Sotong bakar, ayam goreng dan pulut panggang antara juadah dibeli Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di bazar Ramadan Mahkota Square pada Rabu.

Baginda berkenan mencemar duli untuk berbuka puasa bersama rakyat Pahang di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1, diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda-anakanda berangkat tiba di bazar itu, sekitar jam 6.30 petang.

Ketibaan baginda berdua disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, dan Datuk Bandar MBK, Datuk Hamdan Hussin.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah seterusnya berkenan membeli juadah berbuka dan bertanya khabar peniaga dan pengunjung bazar.

Semasa sesi 'meronda' kelihatan peniaga dan pengunjung teruja bertemu dengan pasangan Diraja itu dan ada di antara mereka merakamkan kenangan indah bersama baginda.

Baginda kemudian meluangkan masa beramah mesra dengan orang ramai memenuhi kawasan padang terletak berhampiran Masjid Sultan Ahmad Satu bagi menanti waktu berbuka puasa.

Sebelum berbuka, Al- Sultan Abdullah dan permaisuri turut berkenan mengagihkan kira-kira 1,000 bekas bubur lambuk yang dimasak sendiri oleh Tunku Azizah di Istana Abdul Aziz kepada orang ramai yang datang berbuka puasa di padang awam ini serta pengunjung bazar Ramadan.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai yang datang berbuka di padang MBK1.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai yang datang berbuka di padang MBK1.

Baginda berdua bersama ahli keluarga kemudiannya berkenan berbuka puasa di padang MBK 1 yang terletak bersebelahan bazar itu.

Berbuka puasa bersama orang ramai di padang ini tradisi baginda setiap Ramadan kecuali pada 2020 dan 2021 kerana perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah membeli juadah berbuka di bazar Ramadan Mahkota Square di sini pada Rabu.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah membeli juadah berbuka di bazar Ramadan Mahkota Square di sini pada Rabu.