Ketua PBB gesa tempoh bertenang 4 hari di Ukraine sempena Easter

António Guterres
António Guterres
A
A
A

NEW YORK - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres pada Selasa menggesa pertempuran di Ukraine dihentikan selama empat hari bagi membolehkan pembukaan koridor bantuan kemanusiaan sempena cuti perayaan Easter.

"Hari ini, saya menyeru berhenti sekejap selama empat hari sempena Easter yang bermula pada Khamis hingga Ahad, 24 April untuk membolehkan pembukaan beberapa siri koridor kemanusiaan," lapor Xinhua memetik Guterres.

Berikutan operasi ketenteraan Rusia yang semakin sengit di timur Ukraine ketika Hari Easter semakin hampir, beliau berkata, aspek kemanusiaan adalah lebih penting.

Semasa tempoh yang dicadangkan itu, Guterres berkata, orang awam akan dipindahkan dari kawasan konfrontasi dan bantuan kemanusiaan akan dihantar ke Mariupol, Donetsk, Lugansk dan Kherson.

Beliau berkata, lebih empat juta orang di kawasan itu memerlukan bantuan.

Pada Selasa, Ketua Kemanusiaan PBB, Martin Griffiths mencadangkan menjelang Hari Easter adalah masa paling sesuai untuk gencatan senjata. - Bernama