Erdogan bantah provokasi, ancaman di Masjid al-Aqsa

Gambar fail menunjukkan penduduk Palestin bertempur dengan polis Israel di pekarangan Masjid al-Aqsa baru-baru ini. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan penduduk Palestin bertempur dengan polis Israel di pekarangan Masjid al-Aqsa baru-baru ini. - Foto AFP
A
A
A

ISTANBUL - Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Selasa memberitahu Presiden Israel, Isaac Herzog agar insiden penduduk Yahudi melakukan provokasi terhadap penduduk Palestin di pekarangan Masjid al-Aqsa tidak berulang lagi.

Beliau menyatakan demikian dalam panggilan telefon kepada Herzog dan memberi amaran ancaman terhadap status masjid ketiga paling suci dalam agama Islam itu.

Presiden Turki itu membuat komen tersebut selepas berlakunya pertempuran antara pasukan keselamatan Israel dengan penduduk Palestin di dalam dan sekitar pekarangan masjid tersebut pada hujung minggu lalu sehingga menyebabkan 170 orang cedera, kebanyakannya penunjuk perasaan Palestin.

Kejadian itu berlaku hampir setahun selepas ketegangan yang serupa terjadi sehingga mencetuskan konflik selama 11 hari antara Israel dan kumpulan pejuang Palestin di Gaza.

Erdogan turut memberitahu Herzog tentang fakta bahawa Masjid al-Aqsa diserbu oleh kumpulan fanatik Yahudi selepas solat Subuh baru-baru ini dan ketegangan antara penduduk Palestin dengan Israel kemudian merebak ke Gaza.

Beliau berkata bahawa imej seumpama dapat dilihat pada setiap tahun kerana beberapa penduduk Yahudi yang radikal menyakiti hati dan menyebabkan reaksi yang wajar di seluruh dunia Islam.

Erdogan memberitahu Presiden Israel itu bahawa dalam tempoh sensitif ini, beliau ingin menekankan sekali lagi keperluan untuk tidak membenarkan provokasi dan ancaman terhadap status Masjid al-Aqsa.

Pemimpin Turki itu juga mengulangi gesaannya agar semua pihak berusaha sedaya upaya untuk memelihara masjid tersebut. - Agensi