MBPP tidak keluarkan lesen aktiviti e-skuter

Anggota penguat kuasa MBPP memberi nasihat kepada pengguna e-skuter dalam operasi yang diadakan pada Isnin. - Foto MBPP
Anggota penguat kuasa MBPP memberi nasihat kepada pengguna e-skuter dalam operasi yang diadakan pada Isnin. - Foto MBPP
A
A
A

GEORGETOWN - Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) tidak mengeluarkan sebarang lesen kepada pengendali aktiviti e-skuter di negeri ini.

Pihak berkuasa tempatan negeri itu dalam satu kenyataan di laman facebook miliknya berkata, MBPP kini giat menjalankan pemantauan aktiviti e-skuter demi menjamin keselamatan orang awam dan pengguna jalan raya.

Menurutnya, berdasarkan tinjauan dilakukan, isu penggunaan e-skuter di atas jalan raya semakin berleluasa dan satu mesyuarat untuk menangani isu ini telah diadakan antara MBPP, Polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) termasuk tindakan penguatkuasaan.

"Buat masa kini, penggunaan e-skuter adalah dilarang di atas jalan raya dan ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 54 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kebiasaannya, e-skuter yang bersifat mikro mobiliti hanya digunakan di kawasan siar kaki awam atau satu kawasan yang diasingkan dari jalan raya," katanya.

Pada Isnin, MBPP telah mengadakan operasi dan pemantauan aktiviti e-skuter di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO Georgetown bagi memastikan jalan raya adalah selamat untuk semua pengguna jalan raya.

Pada masa sama, pegawai MBPP turut memberi nasihat kepada orang awam supaya tidak menyewa dan menaiki e-skuter di atas jalan raya selain menegaskan penggunaan e-skuter adalah di atas tanggungjawab sendiri.

"Pegawai MBPP juga telah turun padang dan memberi nasihat kepada pengendali e-skuter untuk tidak menggunakan jalan raya sebagai lokasi aktiviti tersebut.

"MBPP akan sentiasa bekerjasama dengan pihak PDRM dan JPJ bagi memastikan jalan raya kita selamat untuk semua pengguna jalan raya," katanya.