Bukan mahu cari publisiti murahan: Chin Woon

Chin Woon menunjukkan sampah yang dikutip di Sungai Pinang pada minggu lalu.
Chin Woon menunjukkan sampah yang dikutip di Sungai Pinang pada minggu lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang aktivis MCA menafikan dakwaan beliau hanya mahu mencari publisiti murahan berikutan tindakannya turun ke dalam Sungai Pinang di sini untuk mengutip sampah pada minggu lalu.

Sebaliknya, Cheah Chin Woon berkata, tindakannya itu bertujuan mahu meningkatkan kesedaran awam menjaga kebersihan alam sekitar terutamanya sungai.

Menurutnya, pelbagai kritikan negatif yang dikeluarkan pemimpin serta warga maya berikutan usaha yang dilakukan itu, malah ada yang menyifatkannya lebih berunsurkan motif politik berbanding mengetengahkan isu menjaga kebersihan alam sekitar.

“Saya tidak tiru tindakan mana-mana pihak untuk turun ke dalam sungai bagi kerja-kerja pembersihan.

“Saya amat kecewa kerana tindakan saya untuk menjaga alam sekitar dipolitikkan hingga menjatuhkan reputasi saya sebagai seorang ahli perniagaan,” katanya ketika sidang akhbar di Wisma MCA negeri di sini pada Selasa.

Chin Woon menegaskan, beliau tidak memihak kepada parti dalam mengetengahkan isu kebersihan alam sekitar, malah beliau sendiri kerap menyertai gotong-royong yang dianjurkan DAP negeri.

Katanya, sebelum mengambil keputusan untuk turun ke dalam sungai, beliau menulis surat kepada

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari serta menghantar baju yang dilukisnya membabitkan isu alam sekitar di Pulau Pinang kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, namun tiada respon daripada pihak mereka.

“Apa yang telah berlaku sehingga hari ini, saya nekad tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan pencemaran sungai di negeri ini.

“Namun, saya akan meluangkan masa setiap kali tarikh ulang tahun kelahiran saya iaitu 27 Mei untuk membersihkan sungai dan saya harap ia diamalkan oleh semua masyarakat dengan matlamat memastikan sungai kita bersih daripada sampah sarap serta pencemaran,” katanya.

Mengulas lanjut Chin Woon berkata, sudah tiba masanya kerajaan mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang suka membuang sampah hingga mengakibatkan pencemaran.

Katanya, tindakan penguatkuasaan sedia ada perlu diketatkan lagi agar dapat mendidik generasi akan datang untuk mencintai alam sekitar dan sungai.