Dua parah kenderaan dinaiki terbabas

Kenderaan jenis Proton X70 yang dinaiki empat individu ini dipercayai terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan.
Kenderaan jenis Proton X70 yang dinaiki empat individu ini dipercayai terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan.
A
A
A

SHAH ALAM - Dua individu cedera parah akibat tersepit dalam kemalangan melibatkan sebuah Proton X70 yang dinaiki terbabas di Kilometer 12.3 Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang di sini awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan mengenai kemalangan berkenaan pada jam 12.49 pagi.

"Sepasukan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 12.55 pagi.

"Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton X70 yang dinaiki empat lelaki warga tempatan berumur antara 16 tahun hingga 18 tahun," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya, makluman awal diterima difahamkan kenderaan tersebut telah terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan.

"Akibat kemalangan tersebut, dua mangsa iaitu pemandu dan salah seorang penumpang tersepit di bahagian ruang hadapan.

"Dua lagi rakan mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Menurutnya, kedua mangsa yang tersepit kemudiannya berjaya dikeluarkan dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Artikel Berkaitan:

"Kedua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kaki. Bagaimanapun, dua lagi rakan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim menerusi kenyataan memaklumkan siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan.