Lelaki 'willy' lepas hantar makanan berbuka dicekup polis

Tindakan seorang lelaki melakukan aksi ‘willy’ semasa menunggang motosikal membawa padah apabila ditahan polis di Jalan Pangkal Kala-Gelang Mas berhampiran Kampung Bechah Semak, Pasir Mas pada Jumaat.
Tindakan seorang lelaki melakukan aksi ‘willy’ semasa menunggang motosikal membawa padah apabila ditahan polis di Jalan Pangkal Kala-Gelang Mas berhampiran Kampung Bechah Semak, Pasir Mas pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Tindakan seorang lelaki melakukan aksi ‘willy’ semasa menunggang motosikal jenis Honda C70 selepas pulang dari menghantar makanan berbuka kepada pelanggan membawa padah apabila ditahan polis di Jalan Pangkal Kala-Gelang Mas berhampiran Kampung Bechah Semak, Pasir Mas pada Jumaat.

Lelaki berusia 23 tahun yang memakai baju Melayu lengkap berkopiah itu ditahan pada jam 6.30 petang selepas membantu ibunya menghantar makanan kepada pelanggan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, semasa melakukan penguasaan Op Samseng Jalanan, anggota bertugas telah melihat penunggang sebuah motosikal yang melakukan aksi 'willy'.

"Sebaik sahaja ditahan anggota bertugas telah membuat pemeriksaan ke atas tubuh badan dan menjumpai satu kotak rokok. Pemeriksaan ke atas kotak rokok itu telah menjumpai sebiji pil disyaki dadah," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, suspek bersama motosikal kemudian dibawa ke Balai Polis Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Shuhaimi berkata, sebanyak 29 saman telah dikeluarkan kepada individu atas pelbagai kesalahan menerusi operasi tersebut.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya berjaya menahan tiga lelaki berusia 20 hingga 27 tahun menerusi Op Samseng Jalanan di Jalan Pasir Puteh-Machang-Grik berhampiran Kampung Bukit.

Artikel Berkaitan:

"Polis telah menahan penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ kerana menunggang laju sambil melakukan aksi bahaya pada jam 6.20 petang.

"Selepas itu, polis berjaya menahan sebuah lagi motosikal jenis Yamaha Y15ZR. Bukan itu sahaja polis berjaya menahan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu dalam keadaan mencurigakan," katanya.

Shuhaimi berkata, pemeriksaan ke atas pacuan empat roda itu telah menjumpai satu botol plastik cerah berisi cecair disyaki air ketum.