Bersatu Terengganu cadang Muhyiddin calon PM

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu mencadangkan presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diangkat sebagai calon Perdana Menteri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Bersatu Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata, Muhyiddin merupakan calon tepat untuk mengemudi negara dan kemampuannya mentadbir terbukti semasa dilantik menjadi Perdana Menteri kelapan.

Malah menurutnya, cadangan itu juga berasas kerana bekas Perdana Menteri itu meletak jawatan disebabkan hilang kepercayaan ahli Dewan Rakyat bukan kerana ditolak oleh rakyat.

Razali Idris
Razali Idris

“Beliau sebelum ini bukan ditolak oleh rakyat tapi oleh 15 ahli Parlimen, sebab itu kita cadangkan Muhyiddin diangkat sebagai calon PM.

“Kalau UMNO boleh cadangkan nama Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri mereka jadi Bersatu pun boleh,” katanya selepas program moreh bersama media di Primula Beach Hotel, di sini pada malam Jumaat.

Pada Khamis, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO sebagai calon Perdana Menteri pada PRU15.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu dipersetujui pada Mesyuarat MKT UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Razali yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, walaupun mencadangkan nama Muhyiddin, namun Bersatu berpendirian untuk terus menyokong kepimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri sehingga Parlimen dibubarkan.

“Sudah tentu parti masing-masing ada calon Perdana Menteri sendiri, tapi kita tidak adalah fikir nak tumbang kerajaan dan kita akan terus bagi sokongan sehingga Perdana Menteri bubarkan Parlimen serta adakan PRU15,” katanya.