Ramadan pertama di sebalik tirai besi

Rin (bukan nama sebenar) meluahkan perasaan ingin memeluk anak yang dirindukan setelah lama tidak berjumpa.
Rin (bukan nama sebenar) meluahkan perasaan ingin memeluk anak yang dirindukan setelah lama tidak berjumpa.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Pengalaman Ramadan pertama di sebalik tirai besi memberi seribu satu penyesalan buat seorang wanita bergelar ibu.

'Rin' (bukan nama sebenar), 19, dari Sungai Petani mengaku jiwanya meronta-ronta ingin bertemu anak perempuan berusia tiga tahun setelah dia ditangkap atas kesalahan memiliki dadah.

Menurut Rin, hatinya semakin sayu memikirkan terpaksa berjauhan dengan anak kecil itu ketika orang ramai bergembira menyambut Aidilfitri nanti.

"Saya janji lepas keluar dari sini akan beri tumpuan sepenuhnya kepada anak, besarkan dia dengan baik dan beri sepenuh kasih sayang seperti kanak-kanak lain," katanya.

Rin ditemui dalam Program Tautan Kasih Ramadan Di Sebalik Tirai Besi anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah di Penjara Sungai Petani, pada Khamis.

Hadir sama Pengarah MKN Kedah, Mohd Zawawi Zakaria; Pengarah Penjara Sungai Petani, Penguasa Kanan Penjara Nazri Mohamad dan Ahli Lembaga Hakim Pelawat Penjara Kedah, Idris Ismail.

Menceritakan kejadian dua tahun lalu, Rin mendakwa diajak seorang rakan ke Stadium Darul Aman, Alor Setar namun tidak menyangka pergerakan mereka telah diperhatikan dan sebaik sahaja sampai, mereka dikepung polis.

Akhirnya, baru dia tahu bahawa rakannya adalah seorang pengedar dadah dan disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

Kini, Rin ditempatkan di Penjara Sungai Petani sebelum hukuman dijatuhkan.

Seorang lagi penghuni, Ali (bukan nama sebenar), 21, dari Pokok Sena berkata, kesempitan hidup membuatkan dirinya mengimpikan kemewahan sehingga tergamak melakukan rompakan kedai emas, tahun lalu.

Ali (bukan nama sebenar) menceritakan kejadian jenayah yang dilakukan sehingga menyebabkan dia kini ditempatkan di Penjara Sungai Petani.
Ali (bukan nama sebenar) menceritakan kejadian jenayah yang dilakukan sehingga menyebabkan dia kini ditempatkan di Penjara Sungai Petani.

"Saya dan rakan dapat rompak emas bernilai RM38,000, ini kali pertama lakukan jenayah.

"Ibu dan ayah bukan orang berada, saya hanya sempat bersekolah rendah sahaja kerana tak ada duit untuk sambung belajar.

"Disebabkan itu, saya mula cari duit untuk sara hidup tetapi disebabkan impian nak kaya cepat, kami cuba jadi perompak, namun malang tidak berbau ketika kami mahu jual semula di kedai pajak gadai dua hari lepas kejadian, tauke kedai telah memanggil polis menyebabkan kami tertangkap dan disiasat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

"Rasa takut, sedih, macam-macam perasaan bila dibawa masuk ke penjara.

"Bagaimanapun, di sinilah saya belajar erti kehidupan, belajar agama dan mengaji al-Quran," katanya.

Jelasnya, pengalaman Ramadan pertama di penjara cukup memeritkan kerana sebelum ini dia bebas memilih makanan untuk berbuka puasa dan dapat bersahur bersama keluarga.

Dia memberitahu telah sedar bahawa jalan yang dipilih itu salah dan berusaha berubah menjadi insan yang lebih baik apabila dibebaskan nanti.

Mengulas lanjut, Ali yang telah mengikuti kelas jahitan kini sudah boleh menghasilkan baju 'master' yang merupakan pakaian penghuni penjara.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata, memandangkan penghuni penjara tidak dapat merasai kemeriahan Ramadan dan iftar, MKN Kedah mengadakan sambutan tersebut bagi mengubati kerinduan terhadap keluarga mereka.

Selain itu, Nazri berkata, inisiatif MKN itu juga bertepatan memandangkan ia merupakan program pertama penghuni diraikan setelah dua tahun tidak menganjurkan sebarang majlis akibat Covid-19.

Dalam program berkenaan, seramai 70 dari keseluruhan 223 penghuni diberikan peluang berbuka puasa bersama-sama dengan pelbagai menu dan pengisian menarik antaranya persembahan nasyid, tazkirah daripada Ustaz Aswad Mohd Nason dan penyampaian sumbangan daripada MKN.