Jin Wei mampu beri 'nilai tambah' skuad Piala Uber

Jin Wei bergerak secara profesional sejak Januari lalu.
Jin Wei bergerak secara profesional sejak Januari lalu.
A
A
A

TINDAKAN Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan pemain profesional, Goh Jin Wei bagi menghadapi kempen Piala Uber di Bangkok, Thailand bulan depan dianggap satu percaturan bijak.

Bekas jaguh negara, Roslin Hashim berkata, penyenaraian bekas juara remaja dunia dua kali itu yang dilihat akan memberi 'nilai tambah' kepada skuad negara terutamanya dalam acara perseorangan.

“Bagi saya rugilah kalau kita tidak senaraikan Jin Wei dalam skuad Piala Uber ketika ini. Saya lihat dia masih mampu bermain dengan baik walaupun dah lama tak main pada kejohanan antarabangsa.

“Jujur saya katakan, dengan apa yang ditampilkan Jin Wei pada Terbuka Korea dan Korean Masters, dia lebih bagus daripada perseorangan pertama negara ketika ini.

“Sebab apa yang saya lihat ketika ini, kita tidak ada pemain perseorangan wanita yang cukup kuat untuk menyumbang mata buat pasukan negara.

“Jadi dengan reputasi Jin Wei, saya lihat dia akan menggerunkan pihak lawan. Ia juga mungkin akan menjadi faktor untuk kita mencuri mata daripada pihak lawan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Dalam senarai pemain yang dikeluarkan BAM untuk menjalani kem latihan pusat bagi persediaan Piala Uber, Jin Wei antara pemain perseorangan yang dipilih bagi menguatkan skuad wanita negara.

Selain Jin Wei, pemain perseorangan wanita yang turut mendapat kepercayaan BAM ialah S Kisona, Eon Qi Xuan, Myisha Khairul dan Tan Zhing yi.

Artikel Berkaitan:

Dalam aksi pusingan pertama Korean Masters pada Selasa, Jin Wei yang kini berada di ranking ke-88 dunia mencipta sensasi apabila menewaskan pemain ke-21 dunia dari Thailand, Phittayaporn Chaiwan.

Sebelum itu, Jin Wei mara sehingga peringkat suku akhir Terbuka Korea selepas berjaya mengalahkan beberapa pemain terbaik, antaranya pemain Jepun, Asuka Takahashi yang kini menghuni ranking ke-52 dunia.

Ketika ditanya mengenai peluang skuad wanita untuk mara ke pusingan suku akhir Piala Uber tahun ini, Roslin mengakui ia bukanlah satu tugas yang mudah.

Bagaimanapun, beliau percaya Malaysia masih berpeluang untuk mara dalam kelompok lapan terbaik sekiranya acara perseorangan wanita dapat diperkuatkan.

“Ia bukan satu tugas yang mudah kerana dalam kumpulan kita ada Thailand dan Denmark yang boleh saya katakan pasukan yang agak kuat.

“Sebab kalau kita lihat pasukan wanita negara, ia seperti tidak stabil kerana kita ada beregu yang kuat, namun kita ada masalah di bahagian perseorangan.

“Jadi dengan adanya Jin Wei bagi edisi kali ini, saya percaya ia akan menambahkan lagi kekuatan skuad wanita terutamanya dalam memburu mata acara perseorangan,” jelasnya.