Dua lelaki disyaki edar dadah diberkas

Antara dadah dan barang yang dirampas daripada dua suspek disyaki pengedar dadah.
Antara dadah dan barang yang dirampas daripada dua suspek disyaki pengedar dadah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua lelaki disyaki pengedar dadah ditahan secara berasingan di Jalan Ampang Ulu 3 dan Jalan Ampang pada Isnin dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM 74,380.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, seorang lelaki ditahan di tepi Jalan Ampang Ulu 3 pada jam 3 petang dan pemeriksaan dalam beg berwarna oren pada dirinya mengandungi 10 peket plastik disyaki dadah jenis methamphetamine anggaran berat 2,012 gram.

"Kita turut merampas botol berisi cecair disyaki cecair methamphetamine dan satu peket plastik berisi ketulan mampat dan ceraian daun kering disyaki dadah ganja, anggaran berat 36 gram," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ashari berkata, hasil soal siasat membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki di lobi sebuah pangsapuri di Jalan Ampang pada jam 3.40 petang.

"Sebuah kereta Perodua Myvi dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima turut dirampas," katanya.

Menurut Ashari, kedua-dua suspek berusia 33 tahun dan 25 tahun itu dipercayai aktif dalam aktiviti pengedaran syabu sejak awal April tahun lalu.

Tambah beliau, ujian urin kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek pertama direman tujuh hari bermula Selasa hingga Isnin manakala suspek kedua ditahan reman tiga hari bermula Selasa hingga Khamis dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta yang sama," katanya.

Artikel Berkaitan: