Anwar dijangka kekal Presiden PKR

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

PETALING JAYA - Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka kekal sebagai Presiden Parti Keadilan (PKR) dalam pemilihan parti itu bagi penggal 2022/2025.

Sehingga jam 7 malam, tiada individu lain yang mencabar Ketua Pembangkang tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa berkata, proses penamaan calon akan tamat pada jam 11.59 malam ini.

“Sebab kita buat dalam talian, kita beri mereka 24 jam,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR pada Isnin.

Zaliha turut memaklumkan bahawa pencalonan ini masih lagi perlu menunggu kelulusan JPP.

Bagi pertandingan Timbalan Presiden, sehingga kini ia membabitkan dua penjuru membabitkan bekas Naib Presiden, Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Manakala untuk jawatan Naib Presiden ia membabitkan 17 penjuru antaranya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Turut mencuba nasib adalah bekas Ketua Wanita PKR, Fuziah Salleh; bekas Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador; Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, mereka termasuklah Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chah Lih Kang; Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai; ADUN Hutan Melintang, G Manivannan; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; ADUN Sentosa, G Gunarajah dan ADUN Bukit Selambau, R Summugam.

Selain itu, individu lain yang bertanding adalah Azan Ismail, Mustaffa Kamil Ayub, Datuk Michael Yek Diew Ching, S Thiban dan M.A Tinagaran.

Bagi sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK), pertandingan itu masih melibatkan dua bekas aktivis mahasiswa iaitu Adam Adli Abdul Halim dan Fahmi Zainol.

Manakala bagi sayap Ketua Wanita, ia melibatkan dua penjuru membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail dan pengamal undang-undang, Senator Fadhlina Sidek.