Nur Nabilah positif Covid-19

Nor Manira (Kanan: Laporan Sinar Harian pada Ahad.)
Nor Manira (Kanan: Laporan Sinar Harian pada Ahad.)
A
A
A

ALOR SETAR - Pelajar tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Nabilah Mohd Azhar, 25, yang terlibat kemalangan di Curacao, Caribbean penghujung tahun lalu dan tiba di negara ini pada Jumaat sedang dikuarantin akibat Covid-19.

Bagaimanapun menurut ibunya, Nor Manira Khalib, 57, anak bongsu daripada empat beradik itu yang ditempatkan di Hospital Canselor Tuanku Mukriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kuala Lumpur berada dalam keadaan stabil dan kelihatan ceria semasa dihubungi melalui panggilan video pada pagi Isnin.

"Alhamdulillah keadaan Nur Nabilah stabil dan tidak bergejala walaupun dijangkiti Covid-19. Kami tidak sabar untuk menemuinya secara bersemuka dalam tempoh beberapa hari lagi. Semasa di KLIA kami hanya berjumpa sekejap.

"Buat masa sekarang memang tidak boleh jumpa lagi dan cuma boleh hantar makanan sahaja di kaunter sebelum pihak hospital membawa makanan tersebut kepadanya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Nor Manira dan suami, Mohd Azhar Zakaria, 58, turut membuat ujian kendiri dan keputusan kedua-duanya adalah negatif.

Mereka kini menyewa sebuah rumah di Cheras, Selangor buat sementara waktu untuk menguruskan Nur Nabilah.

"Buat sementara waktu kami duduk di sini untuk menemani Nur Nabilah yang akan menerima rawatan susulan di HCTM mencuci bahagian lukanya. Dia memerlukan sokongan daripada kami buat masa sekarang," katanya.

Mengulas lanjut, Nor Manira berkata, mereka sekeluarga mengakui lega dan gembira selepas anaknya selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tiga hari lalu.

Artikel Berkaitan:

Nur Nabilah terlibat dalam kemalangan semasa menjalani latihan industri di Dive Division Curacao, Caribbean pada 28 Disember 2021 bagi tempoh enam bulan selepas berlepas ke negara itu pada September 2021.

Kejadian tersebut menyaksikan kaki kanannya terpaksa dipotong selepas terkena kipas bot bagi menyelamatkan nyawanya dan rawatan susulan akan dibuat dalam masa terdekat.