Inisiatif RM3 galak kanak-kanak solat Subuh berjemaah

Masjid Saidina Osman Mukim Tepi Sungai, Tanah Merah mengambil inisiatif dengan menyediakan sumbangan RM3 bagi setiap kanak-kanak yang datang menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid.
Masjid Saidina Osman Mukim Tepi Sungai, Tanah Merah mengambil inisiatif dengan menyediakan sumbangan RM3 bagi setiap kanak-kanak yang datang menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid.
A
A
A

TANAH MERAH - Masjid Saidina Osman Mukim Tepi Sungai di sini, mengambil inisiatif sendiri dengan menyediakan sumbangan RM3 bagi setiap kanak-kanak yang datang menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid.

Imam 1, Amin Zainal Abidin berkata, sumbangan kewangan dari tabung masjid tersebut diberikan sebagai galakan kepada kanak-kanak untuk mengimarahkan masjid di sepanjang bulan Ramadan.

"Dengan cara ini ibu bapa kanak-kanak juga akan hadir sama berjemaah di masjid. Alhamdulillah bilangan jemaah makin bertambah dengan kehadiran muka-muka baharu ke masjid.

"Hasil pemerhatian kami, ada ibu bapa dari golongan asnaf hadir berjemaah dengan membawa anak-anak mereka bersama dan dengan cara ini secara tidak langsung duit yang diterima dapat digunakan untuk kelangsungan hidup," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, setiap hari seramai 30 hingga 40 kanak-kanak terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah hadir berjemaah Subuh.

Katanya, suasana Subuh di masjid dalam bulan Ramadan kali ini sangat meriah dengan kehadiran mereka, malah kesuluruhan jemaah mencecah lebih 100 orang.

Beliau berkata, sudah dua tahun masjid sunyi daripada jemaah dek kerana serangan pandemik Covid-19.

"Ramadan kali ini sangat bermakna lebih-lebih lagi jemaah dapat merapatkan saf dan semua peringkat umur boleh hadir ke masjid," katanya.

Artikel Berkaitan: