Peniaga lega jualan laris walau terpaksa naik harga

Abdul Wafi sedang membakar ayam madu Sarawak di gerainya di bazar Ramadan Dataran Shah Bandar, di sini.
Abdul Wafi sedang membakar ayam madu Sarawak di gerainya di bazar Ramadan Dataran Shah Bandar, di sini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Ayam bakar, antara juadah popular ketika bulan Ramadan tetap menjadi pilihan orang ramai walaupun harga makanan tersebut meningkat sehingga RM5 seekor.

Peniaga ayam madu Sarawak, Abdul Wafi Zainuddin, 25, berkata, gerainya mula dikunjungi pelanggan bermula jam 3 petang walaupun ayam masih dalam proses dibakar selepas memulakan perniagaan.

“Hari ini saya hanya sediakan sebanyak 70 ekor ayam tapi setakat ini 50 ekor ayam bakar sudah berjaya dijual dalam tempoh sejam,” katanya ketika ditemui di bazar Ramadan Dataran Shah Bandar di sini pada Ahad.

Menurut Abdul Wafi yang sudah sembilan tahun berniaga di bazar Ramadan berkata, dia tidak berani mengambil risiko menjual ayam bakar dalam kuantiti banyak selepas terpaksa menaikkan harga jualan.

Katanya, ayam madu Sarawak kini dijual dengan harga RM27 seekor berbanding RM22 sebelum ini dan kenaikan tersebut tidak boleh dielak berikutan peningkatan kos serta barang mentah.

“Alhamdulillah, pelanggan masih sanggup membeli dan saya tidak jangka akan menerima sambutan baik sebegini pada hari pertama berniaga,” katanya yang dibantu oleh tiga pekerja.

Sementara itu seorang pelanggan, Jo Hasman Husin, 43, mengakui harga juadah di bazar Ramadan mengalami peningkatan pada tahun ini namun ia masih boleh diterima dan tidak terlalu membebankan.

Jelas beliau, peningkatan harga bahan mentah dalam pasaran tidak membolehkan peniaga mengekalkan harga lama kerana berisiko rugi.

Artikel Berkaitan:

“Kita faham barang sekarang pun mahal, kalau tak naik harga macam mana mahu untung. Setakat ini saya nampak harga naik tidak banyak dan masih boleh diterima,” katanya.