Warga emas pitam, kereta dipandu rempuh kedai makan

Sebuah kereta yang dipandu wanita warga emas merempuh kedai makan di Batu 13, Hulu Langat, pada Isnin selepas dikatakan pitam dan tertekan pedal minyak.
Sebuah kereta yang dipandu wanita warga emas merempuh kedai makan di Batu 13, Hulu Langat, pada Isnin selepas dikatakan pitam dan tertekan pedal minyak.
A
A
A

KAJANG - Kereta dipandu seorang warga emas terbabas merempuh sebuah kedai makan di Batu 13, Hulu Langat di sini selepas wanita berkenaan pitam dalam kejadian pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian kira-kira 12.50 tengah hari itu berlaku ketika kereta jenis Toyota Vios yang dipandu wanita berusia 63 tahun itu tiba di kawasan parking hadapan kedai makan terbabit.

"Wanita itu dikatakan ingin tekan brek tetapi tertekan pedal minyak akibat pitam.

"Kenderaan berkenaan gagal dikawal lalu melanggar sebuah motosikal yang diletakkan di kawasan parking sebelum merempuh masuk ke dalam kedai makan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, seorang pelanggan wanita yang ketika itu sedang mengambil makanan cedera dan telah dihantar ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan.

Katanya, insiden itu mengakibatkan kerosakan harta benda di kedai makan terbabit.

"Kes disiasat Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau membahayakan," ujarnya.

Mohd Zaid menasihatkan pemandu kenderaan agar memastikan tahap kesihatan yang baik sebelum memandu kenderaan di atas jalan raya untuk mengelakkan berlakunya kemalangan.

Artikel Berkaitan:

"Pengusaha premis perniagaan makanan juga dinasihatkan agar memasang besi keselamatan atau sesuatu struktur yang kukuh agar dapat mengelakkan kemalangan yang seumpamanya," katanya.