Lelaki warga emas hilang ditemukan lemas

Warga emas yang dipercayai tergelincir di sungai belakang rumahnya ditemukan lemas berhampiran Masjid Ridzwaniah, Kampung Bawah Gunung, Baling pada Isnin. - Foto ihsan Polis Baling
Warga emas yang dipercayai tergelincir di sungai belakang rumahnya ditemukan lemas berhampiran Masjid Ridzwaniah, Kampung Bawah Gunung, Baling pada Isnin. - Foto ihsan Polis Baling
A
A
A

BALING - Seorang warga emas ditemukan lemas berhampiran Masjid Ridzwaniah, Kampung Bawah Gunung, dekat sini jam 11.20 pagi pada Isnin selepas dipercayai tergelincir ke dalam sungai di belakang rumahnya.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa, Puteh Yeop, 87, telah dijumpai oleh pasukan penyelamat iaitu kira-kira 1.3 kilometer dari tempat mangsa dipercayai tergelincir pada jam 2.30 pagi.

Menurutnya, keluarga mangsa menjelaskan lelaki tersebut mengalami penglihatan kabur, pergerakan terhad dan mempunyai gejala nyanyuk.

"Isteri menyedari mangsa telah tiada di katil bersebelahannya pada jam lebih kurang 2 pagi. Dia dan anak memanggil mangsa yang kemudian mendapati pintu belakang rumah berhampiran bilik air telah terbuka.

"Mereka mencari di kawasan persekitaran rumah bersama jiran tetapi tidak menjumpainya. Mereka kemudian mendapati berhampiran lereng sungai terdapat kesan tergelincir dan jarak pintu belakang rumah ke sungai itu cuma 4.5 meter sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Shamsudin berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Balai Polis Baling untuk tujuan dokumentasi bagi urusan bedah siasat dan pengecaman mayat oleh keluarga mangsa sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Kulim.

Artikel Berkaitan: