Polis Kelantan kerjasama dengan PBT pantau bazar Ramadan

Polis Kelantan akan bekerjasama dengan PBT dan lain-lain agensi untuk membuat pemantauan di semua bazar Ramadan di negeri ini. - Gambar hiasan
Polis Kelantan akan bekerjasama dengan PBT dan lain-lain agensi untuk membuat pemantauan di semua bazar Ramadan di negeri ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Polis Kelantan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain agensi untuk membuat pemantauan di semua bazar Ramadan di negeri ini, bagi memastikan peniaga dan pengunjung mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, sejajar dengan kelonggaran yang diberikan kerajaan, pemantauan tersebut lebih kepada menasihati orang ramai tentang SOP, seperti memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

"Ketika pemantauan dilakukan, ada dalam kalangan pegawai dan anggota yang akan memakai pakaian beruniform dan ada yang akan menyamar dengan memakai pakaian biasa untuk melihat tahap pematuhan SOP peniaga dan pengunjung.

"Penguatkuasaan sebenarnya tidak lagi ditekankan kerana kita percaya masyarakat amat memahami SOP dan peraturan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Balai Polis Kubang Kerian, di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Pembangunan Kerjaya) Bahagian Dasar Sumber Manusia Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Nurulhuda Mohd Salleh.

Shafien juga menyeru penganjur bazar Ramadan secara kecil-kecilan di kawasan lain supaya memaklumkan perkara itu kepada pihak polis agar pemantauan dapat dilakukan.

"Pasti ramai peniaga kecil akan mengambil kesempatan untuk berniaga pada bulan Ramadan nanti untuk menambah pendapatan mereka, namun mereka juga perlu peka dengan peraturan ditetapkan bagi membendung penularan wabak COVID-19 dan jangan berasa terlalu bebas sehingga mengabaikan SOP," katanya.

Sementara itu, Shafien berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Logistik Bukit Aman memberi peruntukan sebanyak RM600,000 untuk membaik pulih Balai Polis Kubang Kerian, iaitu RM300,000 untuk pagar keselamatan serta pejabat pertanyaan dan bakinya pula untuk membaiki pejabat Unit Anjing Pengesan (K9). - Bernama

Artikel Berkaitan: