X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Pil perancang untuk lelaki sedia diuji terhadap manusia

Kejayaan ujian terhadap tikus menyaksikan saintis bersedia memulakan ujian terhadap manusia menjelang akhir tahun ini.(Gambar hiasan) - Foto AFP Relax
A
A

SAINTIS di Amerika Syarikat (AS) membangunkan pil kawalan kehamilan bagi lelaki dengan kadar keberkesanan 99 peratus tanpa kesan sampingan dalam ujian terhadap tikus makmal.

Perkembangan itu menyaksikan mereka bersedia memulakan ujian terhadap manusia menjelang akhir tahun ini, lapor Euronews.

Penemuan itu, yang didedahkan pada mesyuarat musim bunga American Chemical Society, menandakan satu langkah penting dalam usaha untuk mengembangkan pilihan kontraseptif untuk lelaki dan berkongsi beban kawalan kelahiran dengan lebih baik dengan wanita.

Laporan itu menyebut, walaupun terdapat banyak pilihan untuk wanita mengawal kitaran haid, hanya terdapat dua pilihan berkesan yang tersedia setakat ini untuk mencegah kehamilan bagi lelaki iaitu kondom dan vasektomi.

Tetapi kondom hanya digunakan sekali sahaja, dan vasektomi tidak mudah untuk diterbalikkan, jadi penyelidik berusaha untuk membangunkan kontraseptif lelaki yang berkesan, tahan lama dan boleh diterbalikkan seperti pil perancang untuk wanita.

Pelajar siswazah yang membentangkan kajian pada mesyuarat itu, Md Abdullah Al Noman, bertugas di makmal Profesor Gunda Georg di University of Minnesota, berkata sehingga kini belum ada pil sedemikian yang diluluskan penggunaannya.

"Para saintis telah mencuba selama beberapa dekad untuk membangunkan kontraseptif oral lelaki yang berkesan, tetapi masih tiada pil yang diluluskan di pasaran.

"Kebanyakan kajian (pil untuk lelaki) yang sedang menjalani ujian klinikal menyasarkan testosteron hormon seks lelaki, yang boleh membawa kepada kesan sampingan seperti pertambahan berat badan, kemurungan dan peningkatan paras kolesterol lipoprotein berketumpatan rendah (dikenali sebagai LDL).

"Kami mahu membangunkan kontraseptif lelaki bukan hormon untuk mengelakkan kesan sampingan ini," katanya.

Mengenai ujian terhadap tikus, Md Abdullah berkata, ubat itu diberikan selama empat minggu kepada tikus jantan dan mengurangkan sperma secara mendadak dengan kadar 99 peratus berkesan mencegah kehamilan tanpa sebarang kesan sampingan negatif.

Katanya tikus terbabit kembali subur selepas beberapa minggu berhenti mengambil lubat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya keputusan pada tikus bukanlah jaminan ubat itu selamat dan berkesan terhadap manusia.

Sementara itu, AFP melaporkan, Georg berkata, pasukan berkenaan akan bekerjasama dengan sebuah syarikat swasta, YourChoice Therapeutics, untuk memulakan ujian terhadap manusia menjelang suku ketiga atau keempat 2022.

"Saya optimis usaha ini akan bergerak dengan cepat," katanya. - Awani


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!