Harimau Malaya 'terpukau' dua gol Ikhsan

Safawi diasak dua pertahanan Singapura dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Singapura sebentar tadi. - Foto FB FAM
Safawi diasak dua pertahanan Singapura dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Singapura sebentar tadi. - Foto FB FAM
A
A
A

HARIMAU Malaya gagal meneruskan momentum kemenangan apabila tewas 1-2 kepada Singapura dalam aksi persahabatan Siri Tiga Negara di Stadium Nasional, Singapura sebentar tadi.

Penyerang berbisa, Ikhsan Fandi menjadi duri dalam daging buat Harimau Malaya apabila anak kepada legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad itu menjaringkan kedua-dua gol tuan rumah.

Bagaimanapun, Harimau Malaya bermula dengan cukup garang apabila mendapat peluang keemasan untuk mengejutkan penyokong Singapura seawal minit pertama menerusi Safiq Rahim.

Namun, percubaan pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT) itu selepas menerima lorongan daripada Syafiq Ahmad dalam kawasan penalti sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Singapura.

Giliran Safawi Rasid menguji gawang Singapura berselang lima minit kemudian, namun rembatan jarak jauh hasil gerakan bersama Syafiq gagal menemui sasaran.

Ketika barisan pemain negara ghairah memburu jaringan, Singapura pula mencipta kejutan apabila berjaya mendapatkan jaringan pembukaan pada minit ke-30.

Jaringan itu berpunca daripada serangan balas pantas apabila Ikhsan menyudahkan hantaran lintang Song Uiyong bagi meletakkan Singapura di depan.

Harimau Malaya kembali memperkemaskan rentak permainan, namun masih gagal merobek gawang Singapura yang dikemudi penjaga gol, Hassan Sunny sehingga tamat aksi babak pertama.

Artikel Berkaitan:

Bersambung babak kedua, Harimau Malaya terlepas peluang untuk mengikat kedudukan selepas sepakan penalti yang diambil Safawi sekadar mengenai palang gol pada minit ke-47.

Jaringan yang dinantikan akhirnya menjelma apabila pemain gantian, Liridon Krasniqi menggegar gawang Singapura selepas menerima lorongan bola daripada Akhyar Rashid pada minit ke-57.

Namun, Ikhsan memastikan ribuan penyokong Singapura terus berpesta apabila rembatan derasnya dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias pada minit ke-75.

Harimau Malaya akan mengharungi aksi persahabatan terakhir secara tertutup berdepan kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC Singapore di Stadium Jalan Besar pada Isnin ini.