Jelajah AKM Perlis buka tirai hari ini

Ismail Sabri dijadual merasmikan Jelajah AKM Perlis, pada petang Jumaat.
Ismail Sabri dijadual merasmikan Jelajah AKM Perlis, pada petang Jumaat.
A
A
A

KANGAR - Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Perlis yang berlangsung selama tiga hari membuka tirai hari ini (Jumaat) dengan pengisian pelbagai aktiviti bermanfaat kepada Keluarga Malaysia.

Diadakan di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, program hari pertama bermula dari 9 pagi hingga 10 malam itu menyajikan pelbagai aktiviti terbuka untuk semua peringkat umur dan latar belakang seperti pameran dan perkhidmatan kerajaan.

Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berharap orang ramai khususnya rakyat Perlis dan negeri jiran seperti Kedah dan Pulau Pinang tidak melepaskan pelung untuk hadir ke program tersebut.

"Jom pakat mai (datang ke AKM Perlis), banyak aktiviti disusun untuk semua golongan tanpa mengira umur, bangsa dan agama antaranya 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya, peluang perniagaan, pemeriksaan kesihatan secara percuma, sukan, persembahan kebudayaan dan banyak lagi...rugi kalau tak mai (tak datang),” katanya kepada Bernama.

Antara yang dinanti-nantikan oleh pengunjung adalah pemeriksaan kesihatan percuma oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jualan Keluarga Malaysia.

Berdasarkan atur cara AKM hari ini, program merangkumi beberapa segmen seperti pentas utama, pentas jualan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), pentas Citarasa Keluarga Malaysia, Sukan Rakyat, E-Sukan serta tapak pameran agensi dan usahawan.

Aktiviti menarik di pentas utama ialah persembahan Kombo Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bersama artis tempatan, cabutan bertuah anjuran Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Program Forum Ihya Ramadan anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Jelajah AKM merupakan kesinambungan kepada kejayaan dan sambutan memberangsangkan Program 100 Hari AKM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Disember lepas dan Jelajah AKM Peringkat Negeri Johor pada 3 hingga 5 Mac lepas dengan objektif memastikan rakyat di semua peringkat memahami dan menghayati aspirasi Keluarga Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Program itu juga bertujuan menyampaikan pelaksanaan inisiatif dan pencapaian kerajaan di peringkat negeri sepanjang tahun lepas dan tahun ini serta mengetengahkan perkhidmatan kerajaan negeri dalam penyampaian kerajaan sebagai sebuah Keluarga Malaysia.

Jelajah AKM Perlis dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang ini dengan jangkaan kehadiran 10,000 pengunjung. - Bernama