Tukar Exco Perak: Dah bincang dengan Presiden PKR

FARHASH WAFA SALVADOR
FARHASH WAFA SALVADOR
A
A
A

IPOH - Perbincangan untuk menukar Exco Kerajaan Perak yang mewakili PKR sudah dibuat dengan pucuk pimpinan parti.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, pertemuan sebanyak dua kali turut diadakan bersama-sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu membincangkan perkara tersebut.

"Malah beliau sendiri juga telah mencadangkan seseorang, namun tanggungjawab saya sebagai pengerusi haruslah lebih adil dan mengutamakan pendapat peringkat akar umbi dahulu.

"PKR menghormati struktur kerajaan negeri dan kami juga menyarankan beliau (Ahmad Faizal) melakukan sedemikian kepada parti kami," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahmad Faizal yang meminta sebarang cadangan pertukaran exco kerajaan negeri perlu melalui pucuk pimpinan parti.

Sementara itu, Farhash Wafa Salvador berkata, sebarang keputusan yang telah dibuat sentiasa berlandaskan perlembagaan parti.

Katanya, nilai prinsip yang diperjuangkan bukanlah sekadar seorang pemimpin di peringkat negeri, namun untuk semangat reformasi yang diperjuangkan untuk negara kita.

Artikel Berkaitan: