[VIDEO] Wanita dipercayai pemandu pacuan empat roda ditahan

Rakaman video yang memaparkan kejadian berkenaan tular di media sosial Facebook.
Rakaman video yang memaparkan kejadian berkenaan tular di media sosial Facebook.
A
A
A

KULAI - Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kes konvoi kereta mewah berhenti di Kilometer (KM) 34, Lebuh Raya Utara Selatan Arah Selatan berhampiran susur keluar Sedenak sehingga menghalang lalu lintas pada Jumaat lalu.

Difahamkan, wanita berkenaan dipercayai pemandu kenderaan pacuan empat roda yang didakwa menjadi punca konvoi kereta mewah berkenaan berhenti di tengah lebuh raya.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, wanita berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira jam 1 pagi pada Isnin.

“Polis telah mendapatkan perintah reman mahkamah selama tiga hari ke atas suspek sehingga 23 Mac ini.

“Ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kesalahan memandu secara melulu,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Kejadian berkenaan tular di laman sosial menerusi satu rakaman video yang memaparkan beberapa kenderaan mewah berhenti di laluan lebuh raya sehingga menghalang lalu lintas.

Menurut Beng Yeow, kejadian berkenaan dipercayai berlaku pada jam 6.10 petang pada Jumaat lalu.

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada sebuah pacuan empat roda yang cuba memotong konvoi kumpulan kereta mewah secara berbahaya sebelum melanggar salah sebuah kereta itu ketika memasuki lorong kiri.

“Akibat pelanggaran itu, kumpulan kereta mewah terbabit bertindak memberhentikan kenderaan mereka di tengah-tengah lebuh raya berikutan rasa tidak berpuas hati dan menyebabkan berlaku perselisihan faham di antara mereka di lokasi kejadian,” katanya.

Artikel Berkaitan: