Taktikal serangan balas punca West Ham tewas

Pertahanan West Ham, cuba mengekang asakan daripada pemain Spurs, Son Heung-min pada perlawanan berkenaan. - Foto Getty Images
Pertahanan West Ham, cuba mengekang asakan daripada pemain Spurs, Son Heung-min pada perlawanan berkenaan. - Foto Getty Images
A
A
A

PENGENDALI West Ham, David Moyes menyifatkan percaturan taktikal menerusi serangan balas pantas menjadi faktor utama menyumbang kekalahan 1-3 skuad kendaliannya itu kepada Tottenham Hotspur, pada Isnin.

Menurut Moyes, taktikal serangan balas berkenaan ternyata berjaya memerangkap selain mengkucar-kacirkan benteng pertahanan The Hammers.

“Kami terperangkap dengan corak permainan serangan balas daripada Spurs yang dilihat cukup menjadi hari ini (Isnin).

“Setelah ketinggalan dua gol, kami berjaya bangkit menerusi jaringan Said Benrahma, tetapi terus menerima tekanan daripada mereka (Spurs) hingga tamat perlawanan.

“Malah, mereka juga berjaya menjaringkan gol ketiga pada penghujung separuh masa kedua dan gol itulah yang sama sekali ‘melenyapkan’ sebarang sisa-sisa kebangkitan,” katanya.

Dalam perlawanan itu, pertahanan West Ham, Kurt Zouma menjaringkan gol sendiri pada minit ke-9, membolehkan Tottenham Hotspur mendahului 1-0 sebelum Son Heung-Min menyumbat gol kedua buat tuan rumah pada minit ke-24.

The Hammers bagaimanapun berjaya merapatkan jurang menerusi Said Benrahma pada minit ke-35, namun Heung-min sekali lagi membuktikan kewibawaannnya dengan menjaringkan gol ketiga pada minit ke-88 bagi memastikan kemenangan Spurs.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan West Ham berada pada kedudukan ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 48 mata manakala Spurs kini berada pada kedudukan kelima dengan 51 mata.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Moyes berkata, kekalahan berkenaan dilihat tidak menutup terus peluang The Hammers untuk merebut slot selaku empat pasukan teratas EPL.

Katanya, peluang masih ada dan kesebelasan pemain diingatkan untuk memberikan aksi terbaik pada baki perlawanan selepas ini.

“Kami masih ada peluang dan pemain perlu memanfaatkannya kesemua baki perlawanan musim ini dengan mencatatkan kemenangan seberapa banyak yang boleh,” katanya.