Empat beranak tinggal sehelai sepinggang

Keadaan rumah Md Rosle yang musnah dalam kebakaran di Sungai Udang pada Khamis.
Keadaan rumah Md Rosle yang musnah dalam kebakaran di Sungai Udang pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Empat beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah pusaka yang didiami mereka sejak lebih 30 tahun lalu musnah dalam kebakaran di Jalan Perkasa, Taman Hang Tuah, Sungai Udang di sini pada awal pagi Khamis.

Mangsa, Md Rosle Che Mee, 62, berkata, ketika kejadian jam 3.15 pagi itu beliau sedang tidur di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan jeritan anaknya yang memaklumkan salah sebuah bilik terbakar.

Menurutnya, sebelum itu isterinya menemani seorang anaknya makan memandangkan anaknya itu mahu pergi ke tempat kerja di Kuala Lumpur.

"Namun bila anak masuk bilik dia terkejut apabila ternampak api dari bilik tidur.

"Kejadian begitu pantas dan kebanyakan barang tidak dapat diselamatkan," katanya yang menganggarkan mengalami kerugian sebanyak RM600,000.

Md Rosle yang bekerja sebagai pemandu van sekolah berkata, dalam keadaan yang sukar ditambah pula pendapatan tidak menentu beliau buntu untuk mencari kediaman baharu.

"Saya belum tahu lagi hendak tinggal sementara di mana, namun berterima kasih dengan pihak yang prihatin dan menghulurkan sumbangan," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Roslan Manas berkata, sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu dengan dibantu jentera Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 3.15 pagi.

Artikel Berkaitan:

"Operasi kebakaran dapat dikawal pada jam 3.54 pagi sebelum tamat pada jam 5.43 petang dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.