Program Riben Kuning: Netizen puji Syed Saddiq

Syed Saddiq bersama Emam yang sudah bekerja di KBS sejak tiga minggu lalu. - Foto Facebook Syed Saddiq
Syed Saddiq bersama Emam yang sudah bekerja di KBS sejak tiga minggu lalu. - Foto Facebook Syed Saddiq
A
A
A

TIADA manusia yang sempurna dalam dunia ini dan setiap yang bersalah berhak untuk dapat peluang kedua!

Perkongsian oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai seorang kakitangan di jabatannya yang merupakan lepasan Sekolah Henry Gurney, wajar diberi pujian.

Mengotakan sepertimana program yang dilancarkan di bawah jabatannya iaitu Projek Riben Kuning, Syed Saddiq telah mengambil Emam Safekri Ahmad Ghasi berkhidmat di pejabatnya sejak tiga minggu lalu.

Tulisnya, Emam yang merupakan lepasan Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun atas kesalahan juvana itu tidak pernah mengenal erti putus asa untuk menggapai cita-citanya.

Emam menduduki peperiksaan SPM dalam Sekolah Henry Gurney dan ia bukanlah penghalang untuknya mendapat keputusan yang cemerlang.

"Emam telah berjaya memperoleh keputusan 8A1B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2013 seterusnya melayakkan dia melanjutkan pelajaran di Institit Pendidikan Tinggi Awal (IPTA) dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL).

"Hasilnya SPM jauh lebih baik daripada saya," kongsi Syed Saddiq di laman sosial Facebook, miliknya.

Malah menurut Syed Saddiq lagi, Emam turut bergiat aktif dalam memberi perkongsian ilmu dan intervensi sosial bermatlamat membuka minda dan menjadi inspirasi kepada orang lain untuk memberi suntikan semangat bagi mengukuhkan jati diri golongan yang tersasar.

Artikel Berkaitan:

"Setiap orang wajar diberi #PeluangKedua dalam membantu mereka untuk berubah menjadi insan yang lebih baik pada masa akan datang.

"Projek Reben Kuning adalah sebuah inisiatif baharu KBS bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam memberi peluang kedua kepada golongan tersasar khususnya buat anak muda," katanya.

Setiap lapisan masyarakat memainkan peranan yang sangat penting dalam menjayakan projek yang bermakna ini. Mereka hanya perlukan peluang kedua.

Perkongsian Syed Saddiq itu mendapat pujian dari netizen dan menyokong usaha yang dilakukan menteri Bersatu itu.

"Tahniah dan terima kasih YB atas kepercayaan yang diberi kepada bekas murid kami. Semoga dia terus berjaya bersama YB," tulis Osman Marcom.

"Syabas YB... kami dari PENGASIH menyokong sepenuhnya kempen riben kuning/ peluang kedua "Second Chance". Kami telah membuktikan bahawa peluang kedua berhasil," tulis Ramli Samad.

"Sokong, setiap kita ada buat silap moga ada cahaya dan harapan untuk mereka," tulis Nor Afidah Yusof pula.